Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat mengalu-alukan ketibaan PM Republik India

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi, yang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam.

    Majlis sambutan rasmi dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara. TYT Perdana Menteri Republik India kemudiannya memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Pada majlis itu, Tuan Yang Terutama diperkenalkan kepada Menteri Kesihatan selaku Menteri Pengiring, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India, TYT Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha; ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam; serta setiausaha-setiausaha tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian disembahkenalkan kepada rombongan rasmi Republik India. Juga hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, TYT Alok Amitabh Dimri.

    Lawatan rasmi berkenaan merupakan lawatan pertama Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri Republik India ke Negara Brunei Darussalam. Tuan Yang Terutama memulakan penggal ketiganya sebagai Perdana Menteri Republik India pada 9 Jun 2024.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan TYT Shri Narendra Modi kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    TYT Shri Narenda Modi menerima junjung ziarah daripada menteri kabinet. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    TYT Shri Narendra Modi ketika memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan anggota ABDB semasa tiba di negara ini kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda