Gambar oleh Infofoto
SINGAPURA, 15 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang ini berkenan berangkat meninggalkan Republik Singapura setelah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung pada 13 November hingga hari ini.
Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman Baginda, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berada di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Changi, Singapura bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Negara, Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Tenaga Manusia Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy bin Mohamad.
Turut hadir menyembahkan selamat berangkat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, TYT Haji Awang Saifulbahri bin Haji Awang Mansor, serta pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Republik Singapura.

