Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat menyaksikan peristiwa penuh bersejarah

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Jambatan Sungai Kebun, Perarakan Kapal-kapal dan Perahu-perahu Berhias serta Pertunjukan Bunga Api yang berlangsung di kawasan berhadapan Tarindak D’Seni, Jalan Residency, di sini, semalam.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Isteri berkenan menyempurnakan perasmian Jambatan Sungai Kebun yang kini diberi nama sebagai Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada acara yang disusun sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

    Berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah serta kerabat diraja yang lainnya.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Sektoral Kerajaan dan Acara-acara Daerah dan Mukim dan Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-kenangan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan datin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dan datin; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan datin; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan datin serta Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dan datin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain berkenan berangkat bagi menyaksikan acara tersebut.
    DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah turut berkenan menyaksikan acara bersejarah itu.
    Ahli kerabat diraja lain yang berkenan berangkat ke majlis tersebut.
    DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Pengiran Bendahara dan Duli Pengiran Digadong berkenan menyaksikan acara penuh gilang-gemilang tersebut.
    Ahli kerabat diraja lain yang berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Majlis bermula dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar yang juga selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Emas.

    Seterusnya Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan datin bagi menyempurnakan perasmian Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Isteri kemudiannya berkenan menerima pesambah.

    Acara perasmian diserikan lagi dengan persembahan lampu laser serta persembahan bunga api, diikuti dengan perarakan kapal-kapal dan perahu-perahu berhias oleh 38 penyertaan terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, persatuan-persatuan, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung di Negara Brunei Darussalam.

    Di dalam memeriahkan lagi suasana perarakan lalu kapal-kapal dan perahu-perahu berhias beberapa persembahan kebudayaan berbentuk nyanyian juga diselitkan diikuti seterusnya dengan pertunjukan bunga api di akhir acara sebagai penutup majlis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda