Friday, October 25, 2024
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat merasmikan persidangan ISB BGIC

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) ke-20, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas hari ini.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat hadir untuk merasmikan persidangan berkenaan.

    Di majlis berkenaan, Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley dalam sembah alu-aluannya menyatakan bahawa pihaknya amat gembira kerana dapat menghoskan ISB BGIC untuk promosi kerjasama dan kolaborasi yang bermakna antara pelbagai sektor yang memberikan manfaat kepada belia, sekolah, komuniti dan negara.

    Dominic Morley menyampaikan sembah alu-aluannya.

    Beliau menyembahkan bahawa tema persidangan pada tahun ini adalah amat bertepatan dan relevan yang menumpukan kepada Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) iaitu: Pendidikan Berkualiti- Bagaimana Kita Boleh Memastikan Bahawa Pendidikan Berkualiti Inklusif dan Saksama Menyokong Pembangunan Mampan?

    Dominic Morley menyembahkan lagi bahawa ISB BGIC telah menyediakan pelbagai pengalaman pendidikan yang menarik melangkaui bilik darjah, memberikan manfaat kepada belia dan pelajar dalam menghadapi krisis ekonomi, ketidakamanan makanan asas dan peningkatkan ketidaksamaan.

    Peluang pengalaman sedemikian boleh meningkatkan kemahiran insaniah dan kefahaman mereka terhadap isu-isu global sambil mereka bekerjasama untuk menghasilkan resolusi yang boleh dilaksanakan sambil mengekalkan kefahaman antarabangsa, kerjasama dan harmoni.

    Sementara itu, Setiausaha-setiausaha Agung ISB BGIC, Zara Jeffri, Emilka dan Francisca Vega dalam sembah alu-aluan mereka menyatakan penghargaan kepada rakan kongsi dan penaja-penaja yang memberikan sokongan dalam menjayakan persidangan berkenaan.

    Dengan penyertaan hampir 300 pelajar daripada 23 buah sekolah, persidangan berkenaan memberi peluang kepada peserta mencontohi pemimpin dunia dalam merenungkan isu-isu global serius dan bekerjasama untuk menghasilkan resolusi yang adil serta praktikal.

    Turut hadir ke perasmian persidangan itu adalah ahli-ahli Lembaga Pengarah ISB termasuk Timbalan Pengerusi Lembaga, Nicholas King; Haji Rashid Abdul Razak; Roya David Kurian; Sharon Tan; Jorge Francisco Vega; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin bint Haji Johari; dan Wong Chin Toon serta Pengurus Besar ISB, Vienna Law.

    Persidangan diikuti dengan pembentangan ucaptama mengenai tema persidangan Matlamat Pembangunan Mampan 4 yang disampaikan oleh dua pembentang undangan iaitu Penceramah Motivasi, Hon. Dr Stuart Lawrence serta Petugas Kemanusiaan Barisan Hadapan Antarabangsa dan Pengasas Race4Good, Linda Cruse.

    Semasa majlis perasmian itu, Yang Teramat Mulia turut berkenan mengurniakan sabda dan menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil-wakil daripada 23 buah sekolah yang menyertai persidangan serta sijil penghargaan kepada penaja-penaja acara berkenaan.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan merasmikan persidangan berkenaan.
    Atas & Bawah: YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyampaikan sijil kepada antara peserta persidangan berkenaan.
    – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    ISB BGIC merupakan persidangan tahunan yang mengikut gaya model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterajui oleh pelajar sekolah di mana para peserta mewakili negara masing-masing untuk menyampaikan pelbagai pandangan mengenai isu-isu semasa dan dunia sebenar.

    Berikutan dengan perasmian persidangan berkenaan, ISB BGIC ke-20 bermula hari ini hingga 27 Oktober dengan mengetengahkan sesi ucaptama, perbincangan jawatankuasa dan perhimpunan agung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda