Thursday, December 5, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat saksikan perasmian Sukan Olimpik Paris 2024

    Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi – 

    PARIS, 28 JULAI – Sukan Olimpik Paris 2024 dirasmikan dalam upacara yang gilang-gemilang serta mengetengahkan kelainan daripada lazimnya dengan majlis perasmian diadakan di luar stadium pada 26 Julai.

    Dalam perasmian temasya sukan berkenaan, atlet-atlet yang bertanding berarak di sepanjang Sungai Seine melalui mercu tanda ikonik Paris termasuk Notre-Dame, Louvre dan Menara Eiffel.

    Satu sejarah dalam upacara pembukaan rasmi sukan yang amat menakjubkan menyaksikan sebanyak 85 kapal mengikuti perarakan terdiri daripada pelbacai jenis kapal air yang lazim digunakan oleh penduduk Paris.

    Berkenan berangkat bagi menyaksikan Majlis Perasmian Sukan Olimpik ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC).

    Turut hadir menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama tiga atlet negara untuk Sukan Olimpik Paris 2024. – GAMBAR SERAHAN URUS SETIA KONTINJEN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan berangkat bagi melawat atlet-atlet kontinjen negara dan kemudahan di Perkampungan Olimpik Paris. – GAMBAR SERAHAN URUS SETIA KONTINJEN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi (empat dari kanan, barisan kedua) semasa menghadiri persidangan yang diadakan di Paris sebelum majlis perasmian Sukan Olimpik Paris 2024. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    GAMBAR SERAHAN KKBS

    Negara Brunei Darussalam menghantar tiga orang atlet ke temasya sukan berkenaan iaitu dua orang atlet muda sukan renang, Zeke Chan Zhi Yue berusia 16 tahun, menyertai acara 100m Kuak Lentang dan Hayley Wong Ann Yue berusia 15 tahun, menyertai acara 50m Gaya Bebas serta seorang atlet sukan olahraga, Awang Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idrus yang menyertai acara 100m.

    Ketua kontinjen negara, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim menyertai perarakan yang dikepalai oleh dua orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam sebagai penghormatan kepada atlet muda yang mempunyai prestasi dan potensi yang cemerlang iaitu Zeke Chan dan Hayley Wong.

    Majlis perasmian yang berlangsung lebih 3 jam 30 minit itu telah dirasmikan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan acara kemuncak menyaksikan penyalaan obor Olimpik menandakan bermulanya Sukan Olimpik Musim Panas ke-33 di Paris.

    Sebelum hari pembukaan rasmi, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan berangkat ke Perkampungan Olimpik Paris bagi melawat atlet-atlet kontinjen Negara Brunei Darussalam yang baru tiba di Paris, Perancis, sehari sebelumnya.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Hajah Umi Kalthum bersama-sama atlet, jurulatih dan pegawai.

    Duli Yang Teramat Mulia juga telah berkenan melawat kemudahan yang disediakan di perkampungan berkenaan yang berkonsepkan mampan dan mesra alam, yang mana menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula dan tidak menggunakan bahan-bahan plastik.

    Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan melawat tempat ruang tempat tinggal atlet dan memastikan atlet-atlet diberikan kemudahan tempat tinggal serta makan minum yang disediakan di dewan makan utama dalam keadaan yang baik dan selamat.

    Di kesempatan itu juga, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda kata-kata semangat kepada atlet dan sabda nasihat kepada pegawai untuk menjaga kesejahteraan serta kesihatan kontinjen terjaga sepanjang berada di Paris.

    Sementara itu, sebelum majlis perasmian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi telah menghadiri Persidangan Menteri-Menteri UNESCO mengenai Change the Game di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, pada 24 Julai.

    Persidangan yang bertemakan Building More Equal and Sustainable Sporting Legacies menyediakan platform untuk menteri, organisasi sukan, atlet dan pihak berkepentingan lain membincangkan tentang peranan sukan yang memberi kesan dalam pembangunan mampan.

    Pada 25 Julai, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel Ke-11 (11CSMM).

    Mesyuarat bertemakan Building Inclusive and Resilient Societies Through Sport yang telah dihadiri oleh menteri-menteri dan ketua delegasi dari negara anggota Komanwel, menggalakkan konsensus dan kerjasama Komanwel mengenai isu dasar sukan penting dalam Komanwel, khususnya dalam bidang seperti tadbir urus yang baik dan hak asasi manusia dalam sukan, pendekatan intersektoral untuk Sports for Development and Peace (SDP), menunjukkan kesan untuk merangsang pelaburan, dan cara mencapainya melalui Komanwel yang lebih bersatu.

    Semasa mesyuarat tersebut, menteri-menteri sukan Komanwel telah mengesahkan kenyataan bersama hasil 11CSMM.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda