
ALOR SETAR, KEDAH, 17 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berangkat tiba di Malaysia bagi menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin, Raja Negeri Perlis yang akan berlangsung di Istana Arau, Perlis.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah dijunjung oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra; Tengku Syarif Bendahara Perlis, Yang Amat Mulia Dato’ Seri Diraja Syed Badaruddin; Menteri Besar Perlis, Tuan Yang Terutama Haji Mohd Shukri bin Ramli; dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Tuan Yang Terutama Muhammad Azmir bin Azizan, selaku Menteri Pengiring.
Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin.
Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Mufti Perlis, Tuan Yang Terutama Sahibus Samahah Prof Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin.