BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berangkat tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober.
Hadir mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Pangkalan Tentera Udara Subang ialah Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
Berangkat mengiringi Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda kemudian melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik terdiri daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Juga hadir di Pangkalan Tentera Udara Subang ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Awang Mohd Aizul Hakim bin Pehin Orang Kaya Indra Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi.












Terdahulu, sebelum keberangkatan Baginda Sultan dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis KDYMM ialah kerabat diraja.
Hadir di hangar penerbangan bagi menyembahkan selamat berangkat ialah pengiran-pengiran cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menekankan kemajuan bersama ASEAN dalam memastikan tiada sesiapa tertinggal, sekali gus menggariskan komitmen ASEAN ke arah memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam kerangka yang inklusif, mampan dan berorientasikan masa hadapan.
Semasa berada di Kuala Lumpur, Baginda Sultan juga akan berangkat ke Majlis Bersama Penuntut-penuntut serta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Malaysia.

