Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat tiba di Republik Korea

    BUSAN, REPUBLIK KOREA, 30 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berangkat tiba di Busan, Republik Korea bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang diadakan di Gyeongju pada 31 Oktober hingga 1 November.

    Berangkat mengiringi Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Sejurus keberangkatan tiba di Pangkalan Udara Gimhae, Kebawah Duli Yang Maha Mulia diberi penghormatan dengan barisan kawalan kehormatan statik terdiri daripada Kawalan Kehormatan Tentera Udara Republik Korea dan dijunjung oleh Duta dari Pejabat Persiapan APEC 2025, Tuan Yang Terutama Kimo Lim.

    Turut menjunjung keberangkatan tiba ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Korea, PYT Pengiran Hajah Nooriyah binti Pengiran Lela Wijaya Pengiran Haji Yussof.

    Dengan membawa tema, Building a Sustainable Tomorrow: Connect, Innovate, Prosper, Republik Korea selaku tuan rumah bagi APEC pada tahun ini, berhasrat untuk memajukan rantau Asia-Pasifik yang terbuka, berdaya tahan dan aman, sejajar dengan APEC Putrajaya Vision 2040.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berangkat tiba di hotel persemayaman di Republik Korea bagi menghadiri AELM yang diadakan di Gyeongju pada 31 Oktober hingga 1 November. Berangkat mengiringi ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda