SINGAPURA, 27 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berangkat tiba di Republik Singapura bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 April.
Hadir di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Republik Singapura bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki bin Osman.
Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Baginda Sultan ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Haji Awang Saifulbahri bin Haji Mansor.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Republik Singapura, tempat persemayaman Baginda di sepanjang keberangkatan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-32.
Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun ini membawa tema ‘Resilient and Innovative’ bagi mencerminkan visi negara tuan rumah dalam menggambarkan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan yang bersatu padu dalam menghadapi cabaran-cabaran global yang semakin meluas di rantau ASEAN.
Sidang tersebut akan menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dalam sama-sama membincangkan perkara-perkara dinamik dan terkini demi kesejahteraan masyarakat sejagat.