REPUBLIK SINGAPURA, 8 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berangkat tiba ke Republik Singapura bagi menghadiri Upacara Perbarisan Hari Kebangsaan Republik Singapura ke-60 Tahun yang akan berlangsung esok, atas undangan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dijunjung oleh Menteri Tenaga Manusia Republik Singapura, TYT Dr Tan See Leng; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Laurence Bay dan isteri.
Juga hadir menjunjung keberangkatan ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Puan Yang Terutama Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman.
Terdahulu, berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah ahli-ahli kerabat diraja.
Berangkat sama dan hadir ialah pengiran-pengiran cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; timbalan-timbalan menteri; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berserta pasangan masing-masing.





