Saturday, October 5, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berani, kreatif tangani isu penggunaan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Penggunaan dan pengeluaran adalah bahagian penting dalam kehidupan seharian masyarakat dan ia memerlukan kita untuk membuat keputusan yang bijak terhadap pembelian, penggunaan produk-produk serta pembuangan atau pelupusan yang bertanggungjawab.

    Dalam hubungan itu, masyarakat perlu berani dan kreatif dalam menangani masalah penggunaan yang meningkat yang memberikan ancaman yang signifikan kepada alam sekitar.

    Pada 2019, dilaporkan bahawa Negara Brunei Darussalam menghasilkan 1.15 kilogram sisa buangan per kapita dan tapak pelupusan kita menerima di antara 500 dan 600 tan sisa harian dengan 32 peratus sisa berkenaan terdiri daripada makanan.

    Penghasilan sisa makanan yang tinggi itu telah mendorong kita untuk mencari penyelesaian yang kreatif di mana salah satu daripadanya adalah menerusi pengkomposan.

    Perkara itu dinyatakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dalam ucaptama semasa Forum Brunei Mampan yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty semasa menyampaikan ucaptama pada forum tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Beliau turut menekankan pentingnya menerima pendekatan baharu dan perubahan minda untuk mencari penyelesaian menuju masa depan yang lebih mampan.

    Pada masa yang sama, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty menekankan pentingnya semua sektor dan lapisan masyarakat bekerjasama untuk mencapai impak yang lebih bermakna.

    Komitmen itu, tekannya lagi, merangkumi penglibatan ahli-ahli MMN yang aktif dalam meningkatkan kesedaran dalam memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui usaha-usaha kebangsaan dan pelbagai hala.

    Di samping itu, beliau percaya perbincangan mengenai penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab yang melibatkan golongan belia, perniagaan dan pelbagai sektor akan merangsang usaha kolektif yang diperlukan untuk membawa perubahan yang bermakna.

    Menyentuh mengenai Forum Brunei Mampan, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty menyambut baik tema forum yang menumpu pada SDG-12 di mana ia mampu memberikan penyelesaian dan idea baharu serta memulakan perbincangan yang diperlukan mengenai tabiat kita yang akan memberikan manfaat kepada penduduk dan bumi kita.

    Beliau turut menyatakan harapan forum itu dapat memupuk usaha kerjasama untuk mencapai masa depan yang mampan bagi Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda