Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beras import diikrar makanan haiwan dirampas

    ISKANDAR PUTERI, 29 JUN – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas kira-kira 10 tan beras import yang diikrarkan sebagai makanan haiwan di laluan lori import, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, semalam.

    MAQIS memaklumkan taktik cubaan mengelirukan pegawai bertugas dengan membawa 10 guni besar berisi produk yang dianggarkan bernilai RM50,000 tanpa sebarang dokumen sah itu, berjaya digagalkan pada 12:30 tengah hari.

    “Setelah menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang diikrarkan oleh ejen penghantaran membawa masuk makanan haiwan, pegawai menemui guni-guni besar berisi beras dibawa tanpa diikrarkan.

    “Pemandu lori berusia 32 tahun telah dilepaskan setelah memberi kerjasama dan diambil rakaman percakapan, manakala kesemua beras itu akan diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Johor untuk tindakan lanjut,” menurut MAQIS dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut MAQIS kemasukan beras import ke negara ini adalah dikawal melalui Permit Kelulusan (AP) mengimport oleh Ketua Pengarah KPB, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

    Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian ke negara ini selain memastikan syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan terus dipatuhi. – Bernama

    Sebahagian daripada 20 beg jumbo yang mengandungi 18 tan beras dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang cuba diseludup dari Singapura. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda