JAKARTA, 14 DIS – Asosiasi Pengusaha Ritel Indonesia (Aprindo) telah melaporkan kekurangan beras berkualiti premium di seluruh negara di tengah-tengah peningkatan permintaan dan musim menuai yang tertangguh.
Badan Pangan Nasional (Bapanas) pula berkata stok beras keseluruhan adalah mencukupi kerana kerajaan mengimport kira-kira 500,000 tan beras tahun ini.
Namun begitu, ia berjanji untuk mempercepatkan pengedaran beras ke pasar tradisional dan moden sebagai mematuhi arahan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo untuk ‘membanjiri pasaran’.
Istilah ‘pasar moden’ digunakan di Indonesia untuk merujuk kepada pasar raya dan pasar mini, yang biasanya menjual beras berkualiti premium, berbanding pasar basah yang juga menjual beras berkualiti sederhana yang lebih murah.
Eliza Mardian, penyelidik di Pusat Pembaharuan Ekonomi (CORE), menjelaskan Indonesia menghadapi lonjakan tempahan beras pada awal tahun ini, ketika negara itu menghampiri bulan puasa Ramadan.
Pilihan raya umum yang akan datang menyumbang kepada peningkatan permintaan, kerana calon presiden dan perundangan lazimnya mengagihkan beras percuma kepada penyokong mereka.
Pada masa sama, berlaku kekurangan bekalan beras kerana fenomena cuaca El Niño melambatkan musim menuai, yang menurut Eliza, dijangka hanya berlaku pada Mac tahun ini.
Namun begitu, pengkaji bersetuju dengan Bapanas bahawa rizab beras perlu mencukupi untuk menampung permintaan sehingga musim menuai.
“Masalahnya terletak pada pengurusan dan pengedaran stok. Kita harus sedar bahawa 90 peratus pengagihan beras dikawal oleh entiti swasta. Oleh itu, tiada data (menyeluruh) mengenai stok dan pengedaran beras, menjadikannya sukar untuk dikesan,” kata Eliza kepada The Jakarta Post pada hari Isnin lalu. – ANN/The Jakarta Post


