Sejak mendirikan rumah tangga tahun lalu, penyanyi Rizky Febian dikatakan mula mengabaikan penampilan selain berat badannya meningkat secara mendadak.
Bimbang keadaan itu jadi tidak terkawal, isterinya iaitu Mahalini terpaksa meminta bantuan bapa mentuanya agar menasihati Rizky mengubah gaya hidup.
Bapa Rizky yang juga pelawak Sule mendedahkan selera anak lelakinya itu semakin meningkat sejak berkahwin malah mampu menghabiskan dua bungkus mi segera.
“Kalau saya ke rumah mereka, Mahalini memang suka mengadu tentang Rizky dan minta saya tegur badannya yang semakin berisi.
“Ususnya sudah macam getah paip. Kalau makan mi segera, boleh sampai dua bungkus,” katanya.
Dalam pada itu, Sule memberitahu perubahan fizikal penyanyi lagu Hingga Tua Bersama itu mungkin disebabkan faktor genetik.
Tegas pelawak itu lagi, dia akan menasihatkan Rizky untuk menjaga pemakanan selain kerap melakukan senaman bagi meningkatkan kecergasan fizikal.
“Sia-sia sahaja suruh dia (Rizky) buat pemeriksaan di klinik. Dia sebenarnya kurang bersenam, mungkin faktor keturunan juga. Saya dan bapa dulu berbadan kecil tetapi selepas itu berat badan mula naik.
“Ya saya akan menasihati Rizky untuk menjaga pemakanan dan harus selalu bersenam supaya isterinya tidak mengadu lagi,” ujarnya. – Agensi
