Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    ‘Berat hati kami tinggalkan Pakistan’

    PAKISTAN – Maroza Bibi dan anak-anaknya adalah antara ratusan warga Afghanistan yang menunggu di sempadan Pakistan, tergesa-gesa meninggalkan negara yang mereka panggil sebagai rumah selama beberapa dekad kerana takut ditangkap.

    Islamabad telah mengeluarkan perintah kepada 1.7 juta orang rakyat Afghanistan yang dikatakan tinggal di negara itu secara haram untuk meninggalkan negara itu pada 1 November, atau dihantar pulang secara paksa.

    Beberapa buah pusat penahanan sedang dibangunkan di seluruh negara sebagai persediaan menjelang tarikh akhir pada Rabu dalam apa yang dikatakan oleh kumpulan hak asasi manusia dan peguam sebagai tindakan keras yang belum pernah berlaku sebelum ini.

    “Saya membawa banyak kenangan indah. Saya menjangkakan Pakistan akan memberikan kewarganegaraan kepada kami, tetapi itu tidak berlaku, memaksa kami pulang hampir dengan tangan kosong,” kata Bibi, 52, kepada AFP di persimpangan Torkham di wilayah Khyber Pakhtunkhwa pada Jumaat.

    Dia berusia kira-kira 10 tahun ketika keluarganya melarikan diri dari peperangan Soviet di Afghanistan, menetap di Kashmir di mana dia membesarkan keluarganya dan tempat suaminya dikebumikan.

    Pelarian Afghanistan menunggu dalam barisan untuk menyeberangi sempadan Pakistan-Afghanistan di Torkham. – AFP
    Gambar AFP
    Pelarian Afghanistan tiba dengan trak untuk menyeberangi sempadan Pakistan-Afghanistan di Torkham. – AFP
    Gambar AFP

    Jutaan rakyat Afghanistan telah merentasi sempadan semasa konflik selama beberapa dekad, menjadikan Pakistan sebagai tuan rumah salah satu populasi pelarian terbesar di dunia.

    Tetapi hubungan antara kedua-dua negara itu semakin merosot sejak kerajaan Taliban merampas kuasa pada Ogos 2021 dan mengenakan undang-undang Islam versi mereka yang ketat.

    Ratusan ribu rakyat Afghanistan dianggarkan telah merentasi sempadan sejak itu.

    Pakistan mengatakan pengusiran itu adalah untuk melindungi ‘kebajikan dan keselamatan negara’, di mana sentimen anti-Afghanistan telah berkembang di tengah-tengah kesulitan ekonomi yang berpanjangan dan peningkatan militan rentas sempadan.

    Walaupun tarikh akhir untuk meninggalkan Pakistan masih beberapa hari lagi, polis sudah mula menyerbu komuniti dan menahan warga Afghanistan, dengan peguam melaporkan penangkapan dan peras ugut secara melulu.

    Zulfiqar Khan dilahirkan dari keluarga pelarian di kem bantuan Peshawar yang luas, di mana generasi rakyat Afghanistan telah menetap di rumah separuh kekal.

    Seperti kebanyakan orang lain yang bercakap dengan AFP, dia tidak mengetahui tentang proses dokumentasi dan percaya dia akhirnya akan diberikan kewarganegaraan Pakistan pada suatu masa nanti.

    “Untuk mengelakkan sebarang penghinaan oleh pihak berkuasa Pakistan, saya telah memutuskan untuk pergi,” katanya kepada AFP di sempadan.

    “Saya meninggalkan Pakistan dengan hati yang berat dan keadaan tekanan mental yang teruk. Saya tidak tahu apa-apa tentang kehidupan di Afghanistan, saya tidak tahu apa-apa tentang sebarang kemungkinan untuk memulakan semula perniagaan saya di sana,” tambahnya.

    Pada Jumaat, ratusan keluarga yang membawa harta benda memenuhi pos sempadan menunggu untuk merentas, beberapa daripadanya berharap untuk meyakinkan pegawai supaya membenarkan mereka membawa ayam hidup bersama mereka.

    “Wanita di sempadan menghadapi banyak masalah, terutamanya wanita hamil dan orang kelainan upaya, awda boleh lihat mereka menunggu giliran selama berjam-jam,” kata Hakeem Ullah, seorang pegawai sempadan, kepada AFP.

    Lebih 2,000 orang sedang diproses setiap hari, kata pihak berkuasa, walaupun kebanyakannya adalah buruh dan peniaga yang kerap pergi dan balik.

    Kira-kira 60,000 warga Afghanistan secara sukarela “meninggalkan negara itu melalui sempadan dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” kata Feroz Jamal, jurucakap kerajaan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, memberitahu AFP.

    Kira-kira 1.3 juta orang rakyat Afghanistan adalah pelarian berdaftar dan 880,000 lagi mempunyai status sah untuk tinggal di Pakistan, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Islamabad berkata seramai 1.7 juta orang lagi rakyat Afghanistan berada di Pakistan secara haram.

    “Semua orang takut ditangkap dan diusir,” kata Fazal Ahmed, seorang penjual buah-
    buahan berusia 40 tahun yang datang ke Pakistan ketika berusia empat tahun, memberitahu AFP di kem bantuan Karachi pada Khamis.

    “Saya menganggap diri saya sebagai wargnegara Pakistan kerana saya tidak pernah kembali ke Afghanistan, tetapi sekarang kita sedang menghitung hari dalam ketakutan,” tambahnya.

    Rakyat Afghanistan hanya dibenarkan merentas sempadan dengan membawa jumlah harta yang terhad iaitu 50,000 rupee Pakistan ($178), dan mereka mesti meninggalkan ternakan mereka.

    “Wang kami tersekat di sini. Semua pendapatan dan simpanan seumur hidup kami tersekat di sini. Kami telah mendirikan perniagaan di sini, tetapi mereka tidak peduli,” kata penduduk kem Karachi Khan Mohammad, merayu agar pihak berkuasa memberi lebih banyak masa kepada warga Afghanistan untuk pergi.

    Afghanistan berdepan dengan kesukaran ekonominya sendiri, terputus daripada sistem perbankan antarabangsa dan sangat bergantung kepada bantuan kemanusiaan, terutamanya ketika musim sejuk. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...