Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berat teh jadi punca ditahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, ISNIN – Warga China yang “menyalahgunakan” teh Cina di Lapangan terbang Antarabangsa Brunei terperangkap kerana perbuatannya sendiri dan didenda $500 atau tiga bulan penjara.

    Majistret Kanan Dayangku Rostaina Pengiran Duraman mendapati Jin Rongguang, 29, bersalah di bawah Seksyen 126 (1) (d) Akta Kastam (Penggal 36) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 126 (1) (i) Akta yang sama.

    Penolong Penguasa Kastam Awang Haji Jamil Haji Tuah berkata Jin ditangkap ketika melalui bahagian X-ray Kastam di balai ketibaan setelah pegawai kastam mengesan lapan bungkus teh jenis Lingtou Dancong dalam begnya.

    Setelah mengeluarkan semua bungkusan teh itu, pegawai kastam mendapati berat setiap bungkusan teh agak luar biasa dan berlainan pula antara satu dengan lain. Ini mendorong beliau membuka bungkusan teh itu dan menemui 60 buah jam tangan tiruan pelbagai jenama mewah disembunyikan dalam daun teh itu.

    Nilai sebuah jam tiruan itu dianggarkan $1,047 dan Jin mengaku bersalah kerana cuba mengelak membayar cukai sebanyak $53. Bagaimanapun dia juga membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.

    Jabatan Kastam dan Eksais Diraja hari ini juga percaya mereka melumpuhkan kegiatan menjual kepak dan tongkeng ayam yang diragui kehalalannya setelah menangkap pemilik sebuah kedai runcit di Taman Alam, Beribi kerana memiliki 162 kilogram kepak ayam dan 10 kilogram tongkeng ayam dalam simpanannya.

    Tangkapan itu dibuat kira-kira pukul 12.20 tengah hari oleh sepasukan pegawai Cawangan Pencegahan Jabatan Kastam Bandar Seri Begawan selepas hampir dua jam membuat intipan ke atas wanita warga tempatan pemilik kedai itu setelah menerima maklumat orang ramai.

    Pemeriksaan mengejut ke atas wanita warga tempatan itu dibuat kira-kira pukul 11:30 pagi sebaik saja dia menghentikan keretanya di hadapan kedainya.

    Setelah menggeledah kereta wanita itu, pegawai kastam menemui lima paket kepak ayam yang diimport dari Denmark dan 11 paket kepak ayam tanpa label dengan setiap paket seberat dua kilogram dalam keretanya.

    Pegawai kastam kemudian memeriksa di dalam kedai tetapi tidak menemui bekalan daging ayam yang diragui kehalalannya.

    Bagaimanapun wanita itu membawa pegawai terbabit ke rumahnya di Kampung Beribi dan hasil pemeriksaan di sana, mereka menemui 45 paket kepak ayam berjumlah 90 kilogram serta 10 kilogram tongkeng ayam yang diragui kehalalannya tersimpan dalam peti sejuk.

    Wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, manakala bekalan kepak dan tongkeng ayam, kereta, serta peti sejuk yang digunakan wanita itu dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda