Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 28 JUN – Bagi menyemarakkan lagi suasana Hari Raya Aidilfitri, DST telah menjemput lebih 600 orang berkeperluan khas (OKU) untuk sama-sama meraikan Hari Raya bersama DST, bertempat di Daerah Tutong dan Belait, hari ini.
Di Daerah Belait, acara tersebut diadakan di Pusat Persidangan Belait, yang menyaksikan para jemputan terdiri daripada individu-individu dari empat buah organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Pusat KACA, SMARTER Brunei dan Pusat Bahagia Eric Goh, yang turut ditemani oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing.
Turut hadir ke acara itu ialah wakil-wakil daripada keempat-empat NGO, Hamimah Haji Sapar dari Pusat Ehsan; Dayang Rafidah binti Hidup mewakili Pusat Bahagia Eric Goh; Awang bin Haji Ramli dari KACA dan Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman dari SMARTER Brunei.
Hadir bagi mengalu-alukan para jemputan adalah pengerusi pasukan DST bagi keraian itu iaitu Pengurus bagi Kumpulan IT di Cawangan Daerah Belait, Awang Muhammad Azizul Amir bin POKPADPS Haji Hasrin, yang ditemani oleh para pegawai pengurusan kanan DST serta kakitangan DST.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai jenis jamuan dan hiburan, yang mana beberapa lagu Hari Raya turut dinyanyikan oleh kanak-kanak serta kakitangan dari agensi-agensi yang hadir. Dengan kejayaan menyambut keraian itu, DST akan mengadakan majlis serupa di Daerah Brunei dan Muara pada awal bulan Julai nanti di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
