Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Pengiran Mohd Amirul
Setiap kali bulan Syawal tiba, umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh keriangan.
Kunjung-mengunjung dan majlis rumah terbuka adalah amalan biasa dalam sambutan ini, tetapi baru-baru ini, peminat sukan mountain bike (MTB) telah membawa satu elemen baharu dalam menyambut perayaan ini dengan berbasikal sambil mengenakan pakaian Hari Raya.
Aktiviti yang diadakan buat julung kali itu jelas sekali memperlihatkan kemeriahan Hari Raya di samping mempromosikan sukan MTB yang kini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.
‘Hendak Seribu daya, tak hendak seribu dalih’, kata-kata inilah yang bermain dalam diri peminat sukan MTB dalam usaha mengangkat lagi populariti sukan ini agar ia diminati ramai.
Di samping dapat menikmati keindahan suasana hutan dan bukit yang mendamaikan, semestinya konsep seperti ini mampu meningkatkan lagi semangat menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Usaha dan inisiatif yang kreatif seumpamanya juga merupakan satu kegiatan yang tidak mustahil mampu menarik perhatian para peminat sukan MTB luar negara untuk datang ke negara ini lebih-lebih lagi ketika musim perayaan yang diraikan di negara ini.
Salah seorang peminat sukan MTB, Awang Mohd Zikri bin Alikhan semasa ditemui oleh pihak media pada acara tersebut mengongsikan bahawa mereka mahu menghidupkan suasana Hari Raya Aidilfitri dalam persekitaran alam semula sambil memperlihatkan jati diri anak Melayu dengan mengenakan pakaian tradisi semasa menjalankan aktiviti lasak berkenaan.
Beliau berharap agar dengan cara ini, generasi muda khususnya dapat mencuba sukan ini sambil menghidupkan lagi jiwa kemelayuan dalam diri masing-masing.
Sementara itu, seorang lagi peminat sukan MTB, Haji Ali Sofian bin Haji Thani turut menjelaskan bahawa terdapat sedikit kelainan dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini di mana mereka menyambutnya di atas Bukit Pawas sambil menikmati pemandangan yang indah.
Jelasnya lagi, ia merupakan satu pengalaman yang cukup menarik dan sudah setentunya berlainan daripada sambutan yang pernah diraikannya sebelum ini.
“Saya rasa pengembaraan bersempena Hari Raya ini cukup menarik kerana kami berpeluang mengenakan baju raya sambil mengayuh basikal.”
Kenyataan tersebut disokong oleh Jessica Sarah Pickets yang juga merupakan seorang peminat tegar sukan tersebut.
“Ia menjadi lebih istimewa lagi dengan kami dapat merayakan sambutan hari raya dengan rakan-rakan kami di sini,” katanya.
Walaupun disambut secara berlainan, namun konsep Aidilfitri tetap dapat dirasakan kemeriahannya, yang secara tidak langsung dapat merapatkan lagi jalinan persahabatan dan mengukuhkan hubungan silaturahim.
Jaga kesihatan diri
Dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri yang meriah, penting untuk tidak melupakan kesihatan dan menjaga pola hidup yang sihat. Oleh itu, sukan MTB merupakan salah satu cara yang menyeronokkan untuk menjaga kesihatan dan menyambut musim perayaan dengan lebih bertenaga.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak terlalu banyak duduk atau tidur seharian di rumah dan berusaha untuk tetap aktif dengan melakukan aktiviti fizikal mahupun senaman ringan seperti berjalan kaki atau berbasikal.
Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan awda untuk keluar dari rumah, kita boleh sahaja melakukan aktiviti ringan di dalam rumah seperti bersenam atau yoga.
Dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif semasa musim perayaan ini, kita secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan diri sambil menikmati perayaan dengan lebih teratur.