SETIAP amalan baik yang dilakukan di dalam bulan Ramadan akan diberi ganjaran sangat istimewa melebihi bulan lain. Orang yang inginkan keuntungan di akhirat perlu merebut peluang sepanjang Ramadan ini untuk melakukan ibadat sebagai bekalan di akhirat. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat. Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah Asy-Syura, ayat 20)
Rasulullah SAW pula mengingatkan umatnya bahawa:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun ‘alaih)
Antara amalan baik yang dianjurkan Islam di dalam bulan Ramadan ini adalah memberi makan kepada orang berpuasa. Ganjaran yang disediakan adalah amat besar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, baginya pahala orang berpuasa tanpa dikurang sedikitpun daripada pahalanya (orang berpuasa tersebut).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Orang kaya membantu yang miskin untuk berbuka puasa. Begitu juga dianjurkan memberi makanan untuk berbuka puasa golongan yang tidak fakir dan tidak miskin bagi meraih ganjaran serta merapatkan hubungan silaturahim.
Dalam konteks memberi makan kepada orang berpuasa, tidak dinafikan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita. Mereka mungkin isteri atau ibu. Ketika orang lain nyenyak dibuai mimpi, mereka bangun menyediakan makanan untuk bersahur. Mereka juga sibuk di dapur pada waktu petang bagi menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarganya.
Apabila ada anak kecil yang belum berpuasa, ibu tetap perlu menguruskan urusan makan dan minum mereka walaupun dia berpuasa. Maka, usah kita lupa pengorbanan mereka dalam memastikan ahli keluarga dapat bersahur dan berbuka dengan baik sepanjang Ramadan.
Adakalanya mereka tidak dapat ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih atas sebab tugasan yang belum selesai di rumah. Solat Tarawih di rumah juga mungkin terkejar-kejar, apatah lagi jika ada anak kecil yang perlukan perhatian ibu.
Besar pengorbanan wanita di bulan Ramadan ini. Oleh itu, jangan dilupakan pengorbanan mereka. Bantu dan doakan kebaikan buat mereka. Rasulullah SAW mengajar satu doa untuk orang yang memberi makan kepada kita. Doa ini juga wajar dipohon buat orang yang menyediakan juadah berbuka dan bersahur buat kita.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah makan kepada orang yang memberi makan kepada kami dan berilah minum kepada orang yang memberi minum kepada kami.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ramadan membuka ruang kepada setiap orang Islam melakukan amal kebajikan. Jika kefahaman ini dapat dihayati, maka setiap Muslim sepatutnya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kebaikan itu bukan sahaja kepada orang lain, tetapi kepada ahli keluarga yang tinggal serumah.
Bayangkan jika ahli keluarga tidak membantu, sudah pasti timbul perkara negatif seperti sikap mementingkan diri sendiri, tidak mengasihi orang lain, hasad dengki dan perselisihan pandangan.
Wanita dalam rumah kita juga perlu dikasihi kerana mereka golongan yang banyak berkorban buat keluarga. Mungkin dengan membantu mereka di dapur sepanjang Ramadan dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan serta meringankan kerja mereka.
Apabila rumah tangga bahagia, rahmat dan keberkatan Ilahi akan sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan keluarga. Itu yang didambakan setiap orang seperti doa yang dirakamkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah Al-Furqan, ayat 74) – Agensi