Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berbagi rezeki bantu ringankan beban 6 keluarga

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Dalam sama-sama meraih keberkahan bulan suci Ramadan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Abdul Razak Holdings Group of Hotels dan Persekutuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (BfWDA) telah mengadakan program sumbangan berbagi rezeki menerusi Program Infak Ramadan kepada enam keluarga murid sekolah-sekolah agama yang memerlukan, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KHEU, di sini, sumbangan itu dihasratkan untuk sama-sama membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.

    Penyampaian sumbangan berkenaan diadakan di lima buah kediaman keluarga di Daerah Temburong dan sebuah kediaman di Kampung Perpindahan Lambak Kanan.

    Hadir sama bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan asasi harian yang dihantar ke rumah-rumah para penerima yang terpilih ialah Pengarah Abdul Razak Holdings, Haji Suhaimei bin Haji Awang Besar; Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Hajah Mariana binti Haji Jamil; Timbalan Presiden BfWDA, Awang Mazlani bin Mahadi serta ahli-ahli rombongan daripada ketiga-tiga pihak yang terlibat.

    Program Infak Ramadan merupakan kesinambungan Program Iftar Ramadan 1446H yang dilaksanakan bersama oleh pihak Abdul Razak Holdings dan JPI, KHEU bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan amal kebajikan yang dianjurkan dalam ajaran Islam, di samping menyemai rasa tanggungjawab dan empati untuk membantu golongan yang memerlukan.

    Haji Suhaimei bergambar ramai bersama para penerima sumbangan. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda