Oleh Daniel Lim, Sim Y. H., Ak Zaki Kasharan, Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Bulan Syawal bakal tiba beberapa hari sahaja lagi dan pelbagai pihak terus berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan dalam memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidifilfitri.
Kelmarin, seramai 42 orang anak yatim di sekitar Kampung Bunut Perpindahan menerima sumbangan pada majlis anjuran Jawatankuasa Anak-anak Muda Persatuan Ikatan Belia Bunut (IKERAB), Kampung Bunut Perpindahan yang diadakan secara pandu lalu di kawasan bangunan persatuan tersebut.
Turut hadir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam serta ahli-ahli persatuan dan penduduk sekitarnya.
Menurut Pengerusi Tetap IKERAB, Pengiran Wahab bin Pengiran Haji Ibrahim, sumbangan yang diagihkan adalah hasil kutipan sumbangan yang dihulurkan oleh para penduduk kampung yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.
Sementara itu, seramai 60 orang pula telah menerima sumbangan dalam Program Ziarah Kasih, Sentuhan Ramadan, anjuran Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mengkubau Kawasan 4 dan 5 dengan kerjasama sukarelawan Mengkubau, baru-baru ini.
Para penerima terdiri daripada golongan warga emas, ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan dari Kawasan 4 dan 5 RPN Kampung Panchor.
Penyerahan sumbangan dalam program yang berkonsepkan ke rumah-rumah itu turut disertai oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Yassin bin Haji Ahmad.
Sumbangan berupa barangan keperluan asasi dan makanan itu adalah hasil kutipan daripada orang-orang kampung dan sumbangan beberapa buah syarikat tempatan.
Sementara itu, seramai 24 orang ibu tunggal bersama anak-anak mereka dari RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri kawasan 2, kelmarin telah menerima sumbangan derma Projek Indahnya Berbagi di Bulan Mulia.
Projek anjuran Ketua Biro Wanita MPK Panchor, Mukim Mentiri Kawasan 2 bagi sesi 2019-2023, Pengiran Marliza binti Pengiran Haji Omar itu diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran bagi ahli-ahli, keluarga dan sahabat Persatuan Siswazah Wanita (PSW) Negara Brunei Darussalam.
Majlis turut menyaksikan penyerahan derma PSW kepada Biro Wanita MPK Panchor Kawasan 2 yang berlangsung di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Penasihat 1 PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin kepada Pengiran Marliza yang juga isteri kepada Pemangku Ketua Kampung Panchor Kawasan 2.
Turut melaksanakan kegiatan amal di hujung Ramadan ini adalah GallopAir Sdn Bhd, sebuah syarikat penerbangan yang baru ditubuhkan, dengan kerjasama Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) yang mengadakan sumbangan amal berupa barangan asas kepada 32 keluarga kurang berkemampuan di Kampung Kuala Ungar, Daerah Tutong, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh GallopAir, di sini, majlis penyampaian sumbangan kepada para pe-nerima berkenaan telah disempurnakan oleh ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat GallopAir Sdn Bhd, Cham Chi dari China dan Penasihat GallopAir Sdn Bhd, SP Tan dari Singapura serta Yang Di-Pertua PKTLB, Awang Abidin bin Haji Musa.
Semasa acara berkenaan, rombongan berkenaan telah menyampaikan sumbangan bagi 26 keluarga kepada Pemangku Ketua Kampung Kuala Ungar, Awang Sani bin Nangkat untuk diagih-agihkan kepada para penerima serta enam keluarga menerima sumbangan berkenaan di rumah masing-masing.
Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) pula telah mengungkayahkan Projek Al ‘Amalil Amal kali kedua, baru-baru ini.
Projek menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 65 orang penuntut yang kurang berkemampuan, hasil sumbangan daripada warga maktab, Alumni Kelas 64 dan Persatuan Siswazah Brunei.
Hadir untuk menyampaikan sumbangan pada majlis yang diadakan di bilik pentadbiran maktab berkenaan ialah timbalan-timbalan pengetua, Awang Zulhisyam Shah bin Haji Napiah dan Dayang Krestina binti Haji Daud.
Di Daerah Tutong, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi melaksanakan Projek Amal: Semanis Ramadan dengan mengunjungi empat buah keluarga yang kurang berkemampuan bagi menyampaikan bantuan barangan keperluan asasi.
Projek tahunan itu bertujuan sebagai salah satu platform untuk memberikan peluang khususnya kepada para pegawai serta kakitangan di Jabatan Pentadbiran, KHEU bagi sama-sama menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan asasi dan kegunaan harian kepada keluarga yang terpilih dari keempat-empat daerah, yang mana bagi tahun ini, empat buah keluarga di Daerah Tutong telah dipilih.
Manakala itu, di Daerah Belait, seramai 70 penerima terdiri daripada anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar Kampung Lumut I, II, dan RPN Lumut telah menerima sumbangan, kelmarin.
Majlis anjuran MPK Lumut dengan kerjasama Aaishafika Minimart Sdn Bhd itu telah dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampung Lumut I, Haji Khairdon bin Haji Dahlan yang menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan kepada penerima.
MPK Lumut dan Aaishafika Minimart Sdn Bhd berharap sumbangan itu dapat meringankan beban anak-anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan di kampung itu dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.