Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Seramai 30 penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan, warga emas dan saudara baharu menerima sumbangan menerusi Program Berbagi Rezeki anjuran bersama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri dengan Atika Arif Tours Sdn Bhd dan Aftercare Support Association (AFSA) yang berlangsung di kediaman Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Kampung Mentiri, hari ini.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para penerima ialah Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Kampung Mentiri, Haji Mohammad Nizam bin Haji Julaihi.
Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Syarikat Atika Tours Sdn Bhd, Mohamed Arif bin Mohamed Jawahar; Timbalan Yang Dipertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri; Setiausaha AFSA, Haji Mahali bin Haji Hassan; ahli MPK dan para penerima.
Haji Mohammad Nizam menjelaskan sumbangan berkenaan serba sedikit membantu meringankan perbelanjaan para penerima sempena bulan Ramadan dan persiapan menyambut hari lebaran yang menjelang tiba.
“Program ini juga salah satu aktiviti kemasyarakat sebagai tanda keprihatinan kepada mereka yang memerlukan di samping menjadi landasan terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan mesra dan sifat tolong-menolong dalam kalangan penduduk kampung,” tambahnya.
Terlebih dahulu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil bagi penduduk Kampung Kawasan 2 RPN Kampung Mentiri yang telah kembali ke rahmatullah.