Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 28 MAC – Kumpulan Sukarelawan Kebajikan dan Kemasyarakatan (KSKK) bersama Jabatan Pengurusan Projek Transformasi (TPM) Brunei LNG telah menganjurkan Program Kempen Amal bulan Ramadan ke Kampung Lumut 1 dan Kampung Sungai Liang bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan, hari ini.
Program berbagi rezeki bersama asnaf dan golongan yang kurang berkemampuan itu diketuai oleh Pengerusi KSKK, Awang Abidin bin Haji Musa dan wakil TPM Brunei LNG dan Pengurus Program Brunei LNG SAP4Hana, Kenny Yap.
Dalam ucapannya, Awang Abidin berkata program itu menyasarkan pengagihan makanan keperluan kepada 30 orang asnaf dan keluarga kurang berkemampuan terpilih dari Kampung Lumut 1 dan Kampung Sungai Liang.
“Ia menandakan program ke-16 KSKK sepanjang bulan Ramadan ini dan merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan yang diadakan di keempat-empat daerah.
“KSKK menyasarkan 500 asnaf fakir miskin, anak yatim, mualaf, orang kelainan upaya dan yang kurang berkemampuan pada tahun ini yang dijayakan melalui sumbangan daripada pelbagai pihak,” tambahnya.
Turut mengiringi kontinjen ialah Ketua Kampung Sungai Liang dan Pemangku Ketua Kampung Lumut 3, Awang Mohammad Haszrin bin Bagol dan Ketua Biro Masyarakat dan Kebajikan di Majlis Perundingan Kampung Sungai Liang, Chai Tze Yun.
Program serupa turut diadakan antara KSKK dan kumpulan pekerja Kumpulan Ekspatriat Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) di Dewan Serba guna Kampung Sungai Mau kelmarin di mana mereka mengagihkan keperluan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan sekitar Mukim Bukit Sawat.
Melalui inisiatif tersebut, kumpulan dan agensi yang terlibat berharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan berkongsi keberkatan sepanjang bulan Ramadan, bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu.