Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Program Berbagi Rezeki Abdul Razak Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei dan Brunei Ekspedisi hari ini diteruskan dengan sumbangan kepada lima buah keluarga dari Daerah Temburong dan Brunei dan Muara.
Mengetuai rombongan dan seterusnya berkesudian menyampaikan sumbangan kepada para penerima ialah wakil dari Abdul Razak Holdings, Haji Suhaimei bin Haji Besar diikuti dengan sumbangan peribadi daripada keluarga ahli lembaga.
Program tersebut dimulakan dengan penyerahan sumbangan di Kampung Parit dan diteruskan ke Kampung Manggis, Kampung Sabun Muara, Kampung Sungai Besar Kota Batu, dan diakhiri dengan Kampung Batang Duri, Daerah Temburong.
Sumbangan adalah hasil kutipan daripada ahli keluarga lembaga syarikat dan merupakan antara salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat mereka dalam memeduli dan membantu golongan yang memerlukan serta bagi meringankan bebanan menjelang sambutan Hari Raya. Antara sumbangan yang dihulurkan adalah berbentuk kewangan, barang keperluan asasi dan makanan.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan semasa temu bual melahirkan rasa amat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan derma pada tahun ini dan mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang berkesudian membantu mereka pada bulan Ramadan dan membuat persediaan untuk Hari Raya nanti.
Sejurus selepas pengagihan sumbangan berkenaan, pihak Rizqun mengadakan majlis berbuka puasa di Rizqun Coffee House yang mana majlis berbuka didahulukan dengan bacaan Doa Selamat.
