Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Dengan hasrat untuk membantu warga sekolah yang memerlukan bagi persiapan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Mentiri telah mengadakan Projek Amal Sekolah, Indahnya Berbagi Rezeki yang bermula dari 27 hingga 29 April di sekolah berkenaan.
Projek amal yang diadakan oleh pihak sekolah bersempena dengan bulan Ramadan itu memberikan peluang kepada warga sekolah iaitu guru-guru untuk sama-sama menyumbang bagi mendapat keredaan Allah.
Ia menyasarkan warga sekolah yang memerlukan dan ibu bapa serta penjaga pelajar dengan matlamat untuk membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri serta merapatkan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa atau penjaga serta pelajar sekolah.
