Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berbakat dalam bidang seni beat box

    Oleh Nurdiyanah R.

    SUNGGUH mengagumkan apabila seseorang yang hanya bermodalkan anggota utama iaitu bibir, gusi, gigi, lidah, rongga tekak dan hidung mampu mengalunkan pelbagai bunyi umpama memainkan alat muzik seperti dram, piano dan marakas.

    Itulah seni yang dimiliki oleh insan yang disebut sebagai beat boxer. Ringkasnya beat box adalah salah satu bentuk seni yang menumpukan kepada kebolehan menghasilkan nada seperti pukulan gendang dan alat muzik yang lain.

    Mungkin sekali dengar, pasti kita tidak percaya ia hanya bunyian yang dihasilkan melalui gerakan mulut tetapi hakikatnya ia bukanlah suatu yang mustahil bagi seorang beat boxer.

    Pertama kali mendengar suara beat box dari salah seorang belia pengiat seni beat box tanah air yang semakin dikenali ramai ini, hanya satu perkara yang terlintas di fikiran penulis – kagum!

    “Dari rakan-rakan yang memiliki minat yang sama dan juga sumber media sosial YouTube, di sanalah bakat atau kemahiran yang saya perolehi semakin berkembang dari peringkat asas sehinggalah ke tahap yang lebih kompleks.

    Wafi Rusli semasa ditemui wartawan Minda baru-baru ini.
    Wafi Rusli telah memanfaatkan bakat seni beat box dengan membuat persembahan nyanyian dalam genre nasyid dan acapella bersama rakan-rakan seperjuangan dari kumpulan An-Najwan sehingga pernah muncul naib johan dalam pertandingan ‘UNIC Got Starz ASEAN’ di Malaysia pada tahun 2017.
    Wafi Rusli menjalankan tanggungjawab untuk menyuarakan seni beat box sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini.

    Kenangan manis yang sukar dilupakan oleh Wafi Rusli apabila menyertai pertandingan Werewolf Beat Box Championship 2018 di Jakarta kerana berpeluang berkongsi pendapat serta ilmu bersama para penggiat seni beat box antarabangsa.
    Meskipun dunia seni beat box ini mempunyai cabaran tertentu namun bagi Wafi Rusli segala keyakinan dan minat yang mendalam tidak akan pernah terhakis, lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan rakan-rakan, ahli keluarga dan insan tersayang.

    “Sehingga kini saya masih mendalami ilmu ini bahkan ia telah menjadi sebahagian dari kehidupan saya kini,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh seorang belia tempatan yang mula berkecimpung dalam dunia seni beat box sejak tahun 2014, Awang Abdullah Wafi bin Haji Rusli atau lebih dikenali sebagai Wafi Rusli, semasa ditemui wartawan Minda baru-baru ini.

    Mempelajari pelbagai teknik

    Penggiat seni beat box yang kini berusi 28 tahun ini menyatakan bahawa teknik pernafasan memainkan peranan yang sangat penting untuk menghasilkan kesinambungan suara beat box yang mantap di samping menitikberatkan pengetahun mengenai ‘sense of rhythm’ dan ‘groove’.

    “Selain itu, gerakan tangan juga mempunyai fungsi tertentu yang mana ia amat diperlukan untuk mempertahankan tempo atau rentak,” tambahnya lagi yang juga merupakan ahli dalam kumpulan nasyid dan tausyeh tempatan, An-Najwan.

    Peluang terbaik

    Dengan adanya anugerah bakat seni beat box yang dimiliki oleh Wafi Rusli ini, ia sememangnya telah mewarnai kehidupan harian beliau, lebih-lebih lagi apabila berjaya mengaplikasikan seni tersebut dalam persembahan nyanyian dalam genre nasyid dan acapella bersama rakan-rakan seperjuangan dari kumpulan An-Najwan sehingga pernah memenangi Naib Johan dalam pertandingan ‘UNIC Got Starz ASEAN’ di negara jiran, Malaysia sekitar tahun 2017 lalu.

    “Amat bersyukur dan pastinya gembira di atas limpahan rezeki yang diperolehi melalui bakat seni beat box ini sehingga dengannya juga, saya juga telah memperolehi peluang pekerjaan menjurus kepada bidang seni ini iaitu menjalankan tanggungjawab menghasilkan seni beat box untuk mengisi segmen di salah sebuah stesen radio swasta,” ujar beliau lagi.

    Timba ilmu dan pengalaman

    Selain itu, dalam mengembangkan bakat seni beat box ini, Wafi Rusli juga sentiasa menimba ilmu dan pengalaman sehingga pernah menyertai pertandingan Werewolf Beat Box Championship 2018 di Jakarta, Indonesia. Meskipun tidak menembusi ke peringkat akhir namun beliau dengan menemui artis-artis beat box dunia yang terkenal itu sememangnya kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan oleh beliau, lebih-lebih lagi kerana berpeluang berkongsi pendapat atau pandangan serta ilmu seni ini dengan lebih mendalam lagi.

    “Dengan adanya penglibatan saya dalam seni beat box tanah air ini, saya mampu membuka minda masyarakat tempatan bahawa seni beat box ini merupakan suatu seni yang berpotensi besar untuk dikembangkan bukan sahaja di negara ini bahkan juga dunia luar,” jelasnya dengan penuh ketulusan.

    Minat tidak pernah terhakis

    Meskipun dalam menceburi dunia seni beat box ini mempunyai cabaran-cabaran tertentu seperti mungkin sebahagian masyarakat memandang rendah akan kemahiran seni ini namun bagi Wafi Rusli segala keyakinan dan minat yang mendalam dalam seni beat box ini tidak akan pernah terhakis, lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan dan dorongan dari rakan-rakan, ahli keluarga dan juga insan yang tersayang.

    “Apa yang saya harapkan ialah di negara ini akan menyediakan pelbagai platform terbaik untuk para penggiat seni beat box ini untuk diketengahkan agar mereka dapat mengekspresikan bakat seni mereka dengan sebaik-baiknya,” ujarnya dengan penuh harapan.

    Semasa mengakhiri sesi temu bual, belia yang berjiwa seni beat box ini turut menyarankan kepada para belia negara yang mempunyai minat yang serupa agar sentiasa memberanikan diri untuk mencurahkan bakat mereka di mata masyarakat dan juga sentiasa menimba ilmu ini secara berterusan dengan sebaik-baiknya agar keindahan seni ini dapat dimanfaatkan bersama bagi mewarnai industri muzik tanah air kita.

    Perlu diingat bahawa kegagalan itu adalah kunci sebuah kejayaan, bangkit dan jangan pernah berputus asa dalam memperjuangkan minat dan bakat yang ada dalam diri.

    Walaupun hakikatnya seni beat box masih belum matang di negara ini, kemahiran itu semakin dikenali dalam kalangan masyarakat di negara ini lebih-lebih di kalangan anak muda. Oleh itu, sebuah bakat itu umpama kapak.

    Janganlah ia dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan tumpul dan hilang kehebatannya. Oleh yang demikian bakat itu perlu disemai, diasuh dan dibina agar ia menjadi sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat di samping untuk melahirkan individu yang bak sebutir permata yang bersinar menerangi sesebuah negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda