RAMAI peminat terkejut apabila Yuna buat kali pertama, menari dalam video muzik terbaru, Forevermore yang sudah merekodkan lebih 1.3 juta tontonan sejak dilancarkan, awal bulan ini.
Pandai menyimpan rahsia, rupa-rupanya Yuna belajar menari hip hop sejak tiga tahun lalu dan berkongsi kebolehannya dalam video muzik arahan suami, Adam Yousof Mohamed Sinclair.
Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 33, memberitahu, dia belajar menari dengan Karma yang dikenalinya di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat. “Menari adalah suatu perkara yang baharu buat saya. Saya ikuti kelas tarian hip hop yang pertama, kira-kira tiga tahun lalu. Lama saya belajar dengan Karma @iam_karmaraines di LA… Agak lama rahsia ini disimpan daripada peminat. Apabila hendak menerbitkan video muzik untuk single Forevermore, saya buat keputusan hendak menari,” katanya.
Yuna berkata, dia semakin menggemari dunia tarian dan suka meluahkan perasaan melalui gerak tari. “Saya suka menari. Selain muzik, tarian adalah cara saya menzahirkan diri. Saya mahu menari dalam lagu-lagu saya. Saya sangat gembira kerana mampu melakukannya dalam klip video Forevermore. Apa yang ditarikan dalam video muzik ini adakah gerakan melambangkan kuasa wanita,” luahnya di Instagram, baru-baru ini.
Selain menari, video muzik Forevermore mengejutkan peminat dengan elemen tradisional, kereta nasional Proton Saga selain penggambaran yang dilakukan di Perlis. – Agensi
