Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Tazkirah bertajuk Kasih Ibu Hingga Ke Syurga, Kasih Ayah Selamanya menekankan kepentingan berbakti dan menghormati ibu bapa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.
“Anak-anak digalakkan mentaati, memenuhi keperluan, berbicara dengan sopan, mendengar nasihat, serta mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ibu bapa”.
Perkara ini ditegaskan oleh Guru Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dr Zati Hanani binti Dato Seri Setia Haji Rajid semasa menyampaikan tazkirah dari Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS sempena Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali ke-201 Khas Untuk Wanita ke-29, sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2025 kelmarin.
Katanya lagi, “berbakti kepada ibu bapa, terutamanya ketika usia mereka lanjut, membawa keberkatan, keredaan Allah SWT dan membuka jalan menuju pahala di dunia dan akhirat. Anak-anak diseru untuk sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa selagi Allah SWT masih memberikan peluang”.
Turut hadir di acara itu, ahli-ahli Biro Warganita Pertubuhan WARGAMAS yang bersiar dari Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS, jemaah dari beberapa masjid seluruh negara, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama serta individu yang mengikuti program secara maya dari kediaman masing-masing.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Setiausaha Agong Pertubuhan WARGAMAS Dayang Hajah Sinega binti Haji Swadi.
Bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai pula dipimpin oleh Dayang Hajah Ajijah binti Haji Mohd Salleh bersama ahli-ahli Biro Warganita Pertubuhan WARGAMAS.
Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pendidikan Ugama dan Guru Besar Sekolah Ugama Pulaie, Jabatan Pengajian Islam Dayang Rosmawati binti Raya.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh ahli-ahli Biro Warganita Pertubuhan WARGAMAS.
Manakala Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Ugama (SkiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama Dayang Nor’Ain binti Abdul Rahim.
Malam Munajat antara lain bertujuan mengajak masyarakat mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada bala bencana dan penyakit.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyertai acara Malam Munajat yang diadakan setiap Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita


