Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berbasikal dari UK ke Madinah untuk haji

    JEDDAH, 21 Ogos – Penunggang basikal di Madinah adalah pemandangan yang jarang berlaku, namun ia lebih jarang lagi bagi bakal haji mengayuh basikal untuk mengerjakan rukun ke-5 Islam itu.

    Lapan bakal haji UK mengayuh basikal dari Masjid Timur London di Britain, menyeberangi Perancis, Jerman, Austria, Lichtenstein, Switzerland, Itali, Greek, Mesir dan tiba di Arab Saudi akhirnya.

    Mereka sampai di Jeddah pada Jumaat dan berehat sehari sebelum berlepas ke Madinah, di mana mereka disambut dengan nyanyian dan tarian, ditaburi dengan bunga rampai dan air Zam-zam.

    “Kami sudah meredah hujan, panas, ribut pasir dan Alps Swiss,” kata Taher Akhtar, dari Maidenhead di Berkshire yang beremosi dan menitiskan air mata ketika dia turun dari basikalnya di Madinah.

    “Kami pernah berada pada tahap ketinggian 10,000 kaki dan mengalami kebekuan jari dan hidung, namun kerana Allah sentiasa bersama kami, Dia menjadikannya mudah, kami semua merasa dirahmati.

    Penunggang basikal diiringi polis dan kenderaan sokongan dalam perjalanan ke Mekah.

    Seorang lagi penunggang basikal, Saifullah Nasser, seorang imam dari Northampton berkata, “Orang dari Rusia dan China pernah berbasikal untuk menunaikan haji pada masa lalu. Kami penggemar sukan berbasikal, namun tidak seorang pun daripada kami adalah atlit profesional. Menunaikan haji tidaklah sukar.

    “Saya sudah melakukannya sebelum ini, namun merasakan dalam usaha untuk mengha-rgai ketinggiannya, anda perlu mengalami kerendahannya, dan terdapat beberapa kesukaran daripadanya, namun dengan limpah kurnia Allah, kami sampai dengan selamatnya.”

    Mereka meninggalkan Jeddah dengan kereta pada jam 9 pagi Sabtu lalu dan tiba 45km di luar Madinah, di mana mereka disertai dua lagi ahli kelab berbasikal Saudi yang berbasikal bersama bakal haji itu di sepanjang Lebuh raya Hijra.

    “Lebuh raya yang kamu lalui ini dibina sama dengan laluan yang Nabi Muhammad S.A.W ambil semasa baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah,” kata pegawai dari Kementerian Kebudayaan dan Maklumat menerangkan sebelum pasukan itu berlepas ke Madinah.

    Mereka mengambil masa dua jam, dengan iringan polis dan kenderaan sokongan, manakala ramai yang berhimpun di tepi jalan untuk merakamkan gambar dan bersorak untuk mereka.

    Terlalu ramai orang yang melihat mereka sehinggakan penunggang basikal itu terpaksa turun dari basikal 500 meter dari Masjid Nabawi dan meneruskannya berjalan kaki.

    Mereka menundukkan kepala sambil berdoa dan berjalan senyap-senyap ke dalam Masjid Nabawi dan bersyukur kerana berjaya menamatkan perjalanannya mereka yang juga bertujuan mendapatkan dana sokongan organisasi kebajikan di Syria.

    Mereka akan berehat di Madinah dan memulakan persediaan untuk menunaikan haji yang bermula pada hujung bulan ini. – Arabnews

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda