Seperti kita ketahui, berbasikal boleh meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Ia juga boleh mengurangkan risiko menghidapi dalam beberapa masalah kesihatan.
Berbasikal yang spesifik merupakan cara yang sesuai untuk menurunkan berat badan dan mengawal obesiti. Kadar obesiti di antara pemuda di Brunei Darussalam merupakan yang paling tinggi di rantau ini iaitu hampir tiga daripada 10 pemuda telah didapati obese, menurut Kajian Kebangsaan Nasional Brunei sebagai faktor risiko Non-Communicable Diseases (NCDs) dibuat oleh Pusat Strategik dan Kajian Dasar (CSPS).
Berbasikal merupakan cara yang terbaik untuk menurunkan berat badan dan mengawal obesiti kerana ia akan meningkatkan metobalismea, membina otot dan membakar lemak dalam badan. Jika awda hendak mencuba untuk menurunkan berat badan, merancang pemakanan yang sihat juga harus dipraktikkan.
Berbasikal juga merupakan senaman yang selesa, awda boleh berbasikal bila-bila masa sahaja dan mengubah had kelajuannya. Ia boleh digunakan perlahan-lahan mengikut kesesuaian awda.
Penyelidik telah mencadangkan awda perlu membakar kalori sekurang-kurangnya 2,000 kalori seminggu melalui senaman. Berbasikal secara konsisten akan membakar sebanyak 300 kalori sejam.

Jika awda berbasikal dua kali sehari, pembakaran kalori akan bertambah. Kajian dari Britain menunjukkan berbasikal setiap hari selama 30 minit akan membakar lima kilogram dalam setahun. Persoalan yang mudah mengenai penurunan berat badan, ‘kalori yang dibakar mesti melebihi dari kalori yang dimakan’.
Oleh itu, awda perlu membakar kalori lebih daripada awda memakannya untuk mengurangkan berat badan. Walau bagaimanapun, pemakanan itu penting untuk mengisi tenaga awda, begitu juga dengan kualiti tidur awda.
Kajian terbaru statistik yang telah dianalisis oleh Dr Fahmi Ibrahim, Sekolah Perniagaan, Universiti Teknologi Brunei (UTB) melalui ‘snapshot’ telah memperoleh data mengenai hasil pesanan jualan baju jersi Brunei Klasik untuk tiga edisi iaitu tahun 2017, 2018 dan 2019.
Pemerolehan data yang utama hasil jualan pesanan saiz XL telah menurun daripada 14.5 peratus (2017) ke-11.8 peratus (2018), ke-7.4 peratus (2019). Pemerolehan data ini disokong lagi dengan hasil jualan pesanan saiz M meningkat daripada 26 peratus (2017) ke-29 peratus (2018), dan sekarang 31 peratus (2019).
Pihak penganjur acara Brunei Klasik, Tum2Cycles telah menyumbang kepada penurunan berat badan dan kawalan obesiti warga Brunei yang telah menyertai berbasikal sebagai aktiviti utama.
Selain itu, acara-acara berbasikal seperti permainan basikal, riadah berbasikal dibuat oleh komuniti berbasikal dan acara-acara lainnya dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti ‘Riadah Keputeraan’ bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, juga merupakan penyumbang utama penurunan berat badan dan kawalan obesiti.
Berbasikal menjadi aktiviti sukan biasa secara berterusan kerana aktiviti ini menjadi kegemaran mereka dalam jangka masa yang panjang untuk mendapatkan hasil kecergasan yang terbaik.
Obesiti merupakan penyakit yang serius kerana ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang boleh mengancam nyawa seperti kanser, kardiovaskular dan penyakit diabetis. Menurut Universiti Glasgow, penyelidik-penyelidik telah mengkaji 260,000 individu selama tempoh lima tahun yang telah menggunakan basikal menunjukkan berbasikal untuk pergi kerja boleh mengurangkan risiko penyakit jantung atau kanser.
Kesimpulannya, berbasikal mempunyai banyak faedah dan sesuai untuk berat badan dan pengawalan obesiti. Jika dibuat dalam jangka masa yang panjang, semestinya akan menyumbangkan kepada negara yang sihat untuk visi 2035.
Berbasikal amat disyorkan sebagai aktiviti sukan yang utama dan ‘kegemaran nombor satu’ serta seharusnya menambah lagi acara-acara berbasikal dengan menyediakan semua bentuk keupayaan untuk menggalakkan semua orang berbasikal.