Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berbasikal sambil beramal sempena Sambutan Jubli Emas

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Lebih 150 orang peserta menyertai acara Riadah Berbasikal Sambil Beramal sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta di Pasar Serbanika Ria, Kampung Masin dan Kampung Bebatik, pagi tadi.

    Acara anjuran Majlis Perundingan Kampung Masin dan Kampung Bebatik itu diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, mempromosi budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan para penduduk kampung.

    Menurut Haji Abdul Wahab bin Haji Bungso yang juga pengerusi acara, sempena riadah berkenaan juga majlis perundingan kedua-dua kampung juga menubuhkan satu tabung dana untuk penduduk di persekitaran menghulurkan derma untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Bebatik bulan lepas.

    “Mana-mana pihak yang hadir atau menyertai telah memberikan derma untuk membantu tiga buah keluarga yang terlibat dalam kejadian berkenaan. Kami berharap dengan tabung dana ini, ia akan dapat meringankan lagi bebanan seharian mereka,” ujar Haji Abdul Wahab.

    Para peserta berbasikal sambil beramal memulakan kayuhan.

    Riadah berjalan sejauh 17km yang bermula Pasar Serbanika Ria Kampung Masin, melalui Kampung Kulapis,  Kampung Batong, Kampung Panchor Murai, kawasan Padi Wasan dan kembali ke pasar berkenaan dimulakan dengan bacaan doa oleh pegawai Masjid Kampung Masin dan disusuli dengan sesi senamrobik.

    Untuk memeriahkan lagi acara, Pusat Kesihatan Kampung Pengkalan Batu juga mengadakan pameran mengenai kesihatan gigi anak damit, penyusuan anak, keburukan merokok dan banyak lagi.

    Pada penghujung acara, Majlis Penyampaian Derma Kilat kepada Mangsa Kebakaran disampaikan oleh tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifle.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda