(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Berubat untuk menghilangkan penyakit adalah perkara yang digalakkan oleh syara‘.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah berubat dan menyuruh umatnya berubat.
Dalam sebuah hadits daripada Usamah bin Syuraik Radhiallahu ‘anhu menjelaskan bahawa segolongan orang Arab pernah bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kata mereka yang maksudnya:
“Wahai Rasulullah, adakah kami boleh berubat?”.
Baginda menjawab: “Berubatlah kamu, kerana Allah ‘azza wajalla tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan bagi penyakit itu ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua”. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pula, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penyembuh. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi yang maksudnya:
Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.
(Hadits riwayat Muslim)
Ada banyak cara atau kaedah perubatan. Antaranya ialah berbekam sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Kesembuhan itu terdapat pada tiga cara: Minum madu, pisau pembekam dan besi panas, dan aku melarang umatku membakar dengan besi panas.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut Kamus Dewan, bekam dan membekam bererti mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada bahagian kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu. Bekam di dalam bahasa Arab disebut sebagai hijamah.
Menurut sebahagian fuqaha, perbuatan hijamah ialah mengeluarkan darah daripada tengkuk dengan cara menghisapnya dengan alat-alat bekam selepas dibedah. Al-Khaththabi Rahimahullah ada menyebutkan bahawa hijamah atau berbekam itu tidak dikhususkan tempatnya di tengkuk sahaja bahkan ia juga boleh dilakukan di mana-mana bahagian badan.
MANFAAT BEKAM
Ada beberapa manfaat berbekam, antara-nya sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
Sebaik-baik hamba adalah tukang bekam, dia dapat menghilangkan darah (kotor), meringankan tulang punggung serta mempertajamkan pandangan.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
HUKUM BERBEKAM
Perubatan dengan menggunakan kaedah bekam adalah disunatkan dalam Islam malahan ia merupakan di antara sebaik-baik cara perubatan. Ini adalah berdasarkan beberapa buah hadits, antaranya sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
Kiranya ada suatu perubatan yang lebih baik bagi kamu, maka itulah dengan menggunakan pisau pembekam atau minuman daripada madu atau catukan (pagutan) dengan api dan aku sendiri tidak suka membakar dengan besi panas.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits yang lain, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Sebaik-baik perubatan bagi kamu ialah berbekam.
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika ramai orang berbekam memandangkan perubatan bekam ini juga adalah perubatan yang terbaik sebagaimana disebutkan dalam hadits.
Selain itu, ada juga yang menjadikan pekerjaan sebagai tukang bekam ini sebagai mata pencarian dalam menyara hidup seharian.
BERBEKAM KETIKA PUASA
Berbekam ketika berpuasa tidaklah membatalkan puasa.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah berbekam ketika Baginda sedang berpuasa sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam pada hal Baginda sedang berpuasa.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Sementara itu Imam asy-Syafi‘i Rahimahullahu Ta‘ala berkata dalam kitab al-Umm yang ertinya:
Jika seseorang lelaki meninggalkan bekam ketika berpuasa kerana berhati-hati, maka itu lebih aku sukai, namun jika dia berbekam juga aku tidak menilainya (perbuatan bekam itu) sebagai sebab yang membatalkan puasanya.
Walaupun berbekam itu merupakan jenis perubatan yang sangat baik dan hukumnya adalah sunat, namun perlu diingat bahawa jika berbekam ketika berpuasa di siang Ramadhan ataupun ketika berpuasa sunat hukumnya adalah makruh.
Maka adalah lebih baik ditinggalkan. Ini kerana berbekam akan melemahkan, dan ini dikhuatiri akan mendorong orang yang berbekam itu untuk berbuka puasa. Keadaan ini adalah sama seperti orang yang berderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa kerana perbuatan ini bukan memasukkan sesuatu ke dalam sebarang rongga tetapi sebaliknya iaitu mengeluarkan darah.
Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu pernah ditanya mengenai adakah beliau tidak menyukai berbekam bagi orang yang berpuasa? Beliau berkata: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan)”.
Oleh itu, berbekam ketika puasa adalah makruh tetapi tidak membatalkan puasa. Hukum makruh itu adalah kerana berbekam itu boleh menyebabkan badan menjadi lemah. Hal ini dikhuatiri akan mendorong seseorang itu untuk berbuka puasa.