Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berbelanja cara bijaksana, utamakan keperluan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Memiliki harta yang banyak itu merupakan salah satu nikmat dan kesenangan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T yang mana ia juga adalah satu ujian yang boleh menyebabkan umat Islam lalai dan lupa kepada Allah.

    Khatib dalam Khutbah Jumaatnya, hari ini, menegaskan bahawa Baginda Rasulullah S.A.W telah mengingatkan umatnya agar memanfaatkan segala nikmat yang diperolehi itu dengan sebaik-baiknya dan adapun nikmat yang boleh melalaikan itu adalah nikmat harta.

    Sebagaimana yang telah diajarkan dalam Al-Quran dan Sunah Rasulullah S.A.W itu ialah kita dinasihatkan untuk berbelanja dan mengurus harta dengan betul, bersederhana, tidak berlebih-lebihan mahupun membazir.

    “Sesungguhnya mengamalkan sikap sederhana dalam kehidupan dapat mengelakkan diri daripada bersikap boros dan membazir. Dalam berbelanja kita hendaklah mengutamakan keperluan bukannya mengutamakan kemahuan,” tekan khatib lagi.

    Kata khatib lagi, sikap berbelanja mengikut hawa nafsu mesti dihindari dan dibendung sebelum ia menjadi tabiat. Ketahuilah sikap boros berbelanja boleh mengundang masalah seperti menanggung hutang dan sebagainya.

    “Sebagai umat Islam kita sepatutnya mengamalkan sikap berjimat cermat serta bersederhana dalam apa-apa juga yang dibelanjakan kerana amalan tersebut dapat mendisiplinkan diri menuju ke arah sifat qana’ah iaitu menerima dengan rela apa yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W sendiri mengamalkan sifat qana’ah dan bersifat sederhana.”

    Di dalam sirah ada menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri hidup dalam keadaan yang amat sederhana, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada di sekitarnya pernah ditawarkan agar dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah S.A.W menolak dan tetap memilih cara hidup yang sederhana.

    “Oleh itu jika kita mahu ekonomi diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin, kita hendaklah mengamalkan cara perbelanjaan yang bijak, sederhana dan terancang seperti mengutamakan barang-barang yang benar-benar diperlukan, mengamalkan tabiat menyimpan (wang), tidak mengamalkan gaya hidup mewah dan boros.

    “Ingatlah agama kita melarang dan mencegah umatnya daripada membazir kerana membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak dan melimpah ruah. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut hawa nafsu,” jelas khatib lagi.

    “Alhamdulillah pada ketika ini warga perkhidmatan awam menikmati pembayaran bonus sebagai inisiatif kepada pekerjaan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun. Sememangnya pembayaran bonus sangat dinanti-nantikan oleh setiap warga perkhidmatan awam. Walaupun pendapatan bonus boleh dikatakan lumayan, namun bukan bererti kita harus berhabis-habisan membelanjakannya untuk perkara yang tidak mendatangkan faedah dan manfaat,”jelas khatib lagi.

    Khatib dalam khutbahnya juga menyeru kepada orang ramai atau ibu bapa yang menikmati wang bonus ini agar tidak lupa untuk menyediakan keperluan yang sangat penting seperti barang atau persediaan untuk persekolahan anak-anak seperti pakaian, buku-buku dan seumpamanya.

    Anak-anak juga perlu dinasihati agar menggunakan semula barang-barang seperti beg dan alat-alat tulisan yang masih boleh dipakai. Berbelanjalah secara bijaksana dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa melakukan pembaziran.

    “Oleh itu, amalkanlah sikap bersederhana dalam berbelanja dan mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T, agar kita terus dilimpahkan rahmat yang berterusan, berkekalan dan hidup dengan bahagia serta selamat di dunia dan akhirat,” kata khatib mengakhiri khutbahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda