Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Straits Central Agencies Sdn Bhd (SCA), Tourism Malaysia dan Bank Baiduri telah mengumumkan kerjasama untuk mempromosikan pakej percutian menarik ke Malaysia seperti Genting Highlands, Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Kuching, dan Kota Kinabalu.
Kempen Cuti-cuti Malaysia Swipe & Win bermula hari ini dengan pelancaran video pada skrin LED di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang menayangkan seorang pempengaruh media sosial tempatan dalam perjalanannya ke Malaysia yang dipermudahkan oleh SCA dan tanpa kerumitan dengan menggunakan kad Bank Baiduri.
Hadir pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Restoran Anjung Saujana ialah Pengurus Besar SCA, Nur Khadijah Abdullah; Ketua Perniagaan Kad Bank Baiduri, Davern Lim; Eksekutif Pemasaran Tourism Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Efarina Abang Haji Osman selaku wakil dari Tourism Malaysia di Brunei Darussalam dan @iffahfifi_ selaku duta Cuti-cuti Malaysia Swipe & Win serta para pengamal media tempatan.
Kempen yang akan berlangsung sehingga penghujung Oktober itu menawarkan hadiah-hadiah menarik menerusi cabutan bertuah eksklusif untuk pemegang kad debit dan kredit Bank Baiduri bagi setiap perbelanjaan minimum di Malaysia dan peluang berganda untuk pembelian produk pelancongan yang dibuat di SCA.
Nur Khadijah dalam ucapannya berkata, “Kerjasama eks-klusif bersama Tourism Malaysia dan Bank Baiduri menawarkan lima hadiah seperti pakej percutian ke Genting Highlands, Melaka, Kuching, Kota Kinabalu yang dilengkapi dengan Royal Skies Miles bersamaan dua tiket penerbangan ke destinasi masing-masing.


“Kedua-dua hadiah untuk Genting Highlands dan Melaka juga termasuk penginapan dua malam di Kuala Lumpur dan pengangkutan pergi dan balik. Turut ditawarkan adalah penginapan di Mercure Miri. Semua hadiah disertakan dengan sarapan pagi untuk dua orang,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Hazrina Azman mengulas bahawa kolaborasi tersebut adalah bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan dalam pasaran ini.
Malaysia merekodkan 301,757 ketibaan pelancong dari Brunei pada 2022, dan dalam usaha mengalu-alukan ketibaan 1.1 juta pelancong dari negara ini tahun ini, tawaran menarik itu disesuaikan mengikut keutamaan dan minat pasaran dengan nilai tambah yang tidak boleh dilepaskan.
Davern Lim pula berkata bahawa mereka berasa sangat teruja untuk bekerjasama dengan SCA dan Tourism Malaysia serta bagi melihat pengalaman luar biasa kepada pemegang kad Baiduri semasa promosi ini.
“Kempen Swipe & Win bukanlah hanya tentang memenangi ganjaran, tetapi juga tentang mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” jelas Davern Lim lagi.

