(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 1
Islam amat mengambil berat tentang hal ehwal serta kebajikan kaum perempuan. Kaum lelaki diperintahkan untuk berbuat baik kepada kaum perempuan. Dalam sebuah rumahtangga umpamanya, kaum perempuan yang bergelar isteri merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada seorang suami kerana suami merupakan ketua dalam sebuah keluarga.
Seorang suami diperintahkan untuk menunaikan hak-hak isteri, menjaga maruah isteri serta mengajar isteri perkara-perkara berkaitan dengan agama dan pembentukan peribadi.
Sebarang bentuk penganiayaan yang dilakukan suami terhadap isterinya seperti mengabaikan nafkah isteri, mendera atau memukul isteri tanpa ada sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak adalah dilarang oleh Islam.
Dengan termeterainya lafaz nikah, seorang suami wajib menunaikan hak-hak isteri seperti mana yang telah digariskan oleh syarak. Hak-hak yang wajib ditunaikan terbahagi kepada hak-hak maliyyah (harta benda) dan hak-hak ghairu maliyyah.
Hak-hak maliyyah (harta benda) adalah berupa mahar, nafkah dan tempat tinggal dan yang seumpamanya. Manakala hak-hak ghairu maliyyah (bukan harta benda) adalah dengan mu‘asyarah bil ma‘ruf iaitu berbuat baik kepada isteri dalam pergaulan dan muamalah seharian.
Berbuat baik atau memberi layanan yang baik kepada isteri bukanlah hak yang boleh dipandang remeh oleh suami kerana hak ini jelas disebutkan di dalam Al-Quran Al-Karim.
Perintah mu‘asyarah bil ma‘ruf dengan Isteri
Dalam hidup berumahtangga, kewajipan pasangan suami dan isteri ialah untuk mu‘asyarah bil ma‘ruf atau memberi layanan yang baik kepada pasangan masing-masing.
Ia merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi memastikan rumah-tangga yang dibina bahagia dan aman damai dan berada dalam keredhaan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang tafsirnya, “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah An-Nisa: 19)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan para suami untuk berbuat baik kepada isteri sama ada dalam pergaulan seharian mahupun juga dalam menunaikan hak-hak isteri yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Menurut para ulama mufassirin, hukum berbuat baik kepada isteri adalah wajib berdasarkan perintah Allah SWT pada ayat tersebut. Maka perintah tersebut dilihat sebagai satu perintah yang wajib.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa seorang suami tidak hanya dituntut untuk menunaikan nafkah isteri berupa makan minum, pakaian, tempat tinggal dan yang seumpamanya, bahkan juga berbuat baik kepada isteri dalam apa juga bentuk dan keadaan.
Ganjaran berbuat baik kepada isteri
Setiap perkara yang diperintahkan oleh syarak tidak kosong dari hikmah yang tentunya mendatangkan kesan kepada si pelakunya.
Hikmah di sebalik perintah berbuat baik kepada isteri adalah supaya kemesraan dan kasih sayang antara keduanya akan berterusan dan dapat mengekalkan ikatan perkahwinan yang kuat dan teguh.
Menyentuh mengenai ganjaran kepada suami yang berbuat baik kepada isteri pula ialah diberi kemuliaan dengan dianggap sebagai sebaik-baik manusia sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya, “Sebaik-baik (manusia) antara kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya,” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Apa yang jelas daripada hadis tersebut ialah mereka paling baik kepada keluarganya dianggap sebagai sebaik-baik manusia, kerana keluarga adalah mereka yang lebih berhak mendapat perlakuan yang baik berbanding orang lain. Berbuat baik itu pula bermaksud bermanis muka, berakhlak mulia dan bergaul baik dengan mereka.
Dengan yang demikian itu, apabila seorang suami berbuat baik terhadap keluarganya, maka dia adalah sebaik-baik manusia dan jika sebaliknya maka termasuklah dia di antara mereka yang melakukan keburukan kerana melakukan yang sebaliknya terhadap keluarganya.
Contoh berbuat baik terhadap isteri
Berbuat baik kepada isteri merangkumi banyak perkara. Antaranya:
1) Menjaga kemuliaan dan kehormatan isteri
Suami hendaklah menghormati isteri dan menjaga kemuliaannya sebagai seorang manusia. Isteri bukanlah dijadikan sebagai tempat untuk berseronok atau memuaskan nafsu semata-mata.
Suami bertanggungjawab melindungi isteri, harta serta maruah isteri daripada perkara buruk.
2) Baik dalam pergaulan bersama isteri
Sama ada dari segi percakapan dan perbuatan. Contoh baik dalam percakapan, antaranya:
A) Lemah lembut dan tidak kasar dalam percakapan.
B) Tidak menengking atau mengeji isteri walaupun dalam keadaan marah.
C) Memanggil atau menyeru isteri dengan panggilan yang baik dan disukainya.
Contoh baik dalam perbuatan, antaranya:
A) Tidak mengasari isteri secara fizikal seperti memukul tanpa sebab yang dibenarkan syarak, menampar atau menyepak isteri.
B) Tidak menghina isteri sama ada di hadapan isteri sendiri atau lebih-lebih lagi di hadapan orang lain.
c) Memberikan hadiah kepada isteri mengikut kesesuaian waktu dan kemampuan suami kerana dengan cara ini akan menggembirakan hati isteri dan juga mengeratkan hubungan suami isteri.
3) Memberi kemaafan kepada isteri apabila isteri melakukan kesalahan dan bersabar menghadapi kemarahan isteri.
4) Menghormati keluarga isteri. Antaranya dengan menghormati keluarga isteri yang datang berkunjung ke rumah serta berkongsi kesenangan dan kesusahan mereka dan yang seumpamanya.
5)Bersikap adil kepada isteri-isteri jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri. Keadilan yang dituntut ialah keadilan secara zahir iaitu:
A) Nafkah hidup hari-hari (yang zahir sahaja)
B) Giliran bermalam (semata-mata bermalam sahaja)
C) Giliran membawa isteri ketika belayar, yang mana untuk kali pertama perlu dibuat undi dan tidak harus memilih sesuka hati kecuali jika dibenarkan oleh yang lain.
Walau bagaimanapun dalam perkara kecenderungan hati atau kasih sayang tidak wajib ke atas suami untuk berlaku adil kerana perkara ini adalah di luar kemampuan dan kesanggupan manusia.
Kerana itu Rasulullah SAW berdoa kepada Allah, maksudnya, “Ya Allah, inilah pembahagian yang dapat aku berikan pada perkara yang dapat aku kuasai, janganlah engkau sesali aku dalam perkara yang hanya Engkau menguasainya, sedangkan aku tidak berdaya menguasainya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Akan tetapi seorang suami janganlah hanya menumpukan kasih sayang kepada isteri yang benar-benar dikasihinya sahaja, sehingga isteri yang lain diabaikan atau tidak diambil perhatian langsung.