(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 2
Hukum mendatangkan mudarat kepada isteri
Haram hukumnya suami mendatangkan mudarat kepada isteri tanpa ada sebab-sebab yang hak, kerana mendatangkan mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman.
Manakala melakukan kezaliman adalah haram, kerana Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim. Jika mendatangkan mudarat kepada orang lain dihukumkan haram maka adalah lebih utama pula larangan tersebut kepada isteri kerana syariat telah berpesan kepada para suami untuk menjaga isteri dan bergaul dengan cara yang baik.
Mudarat yang dilarang dilakukan kepada isteri terbahagi kepada:
Mudarat fizikal. Contohnya, memukul isteri.
Mudarat yang bukan fizikal. Contohnya, mengeluarkan perkataan yang tidak baik kepada isteri.
Larangan mendatangkan mudarat kepada isteri banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Antaranya dalam firman Allah SWT yang tafsirnya:
“…..Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak). Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Baqarah: 228)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa adanya hak isteri ke atas suami seperti mahar, mencukupkan nafkah, tidak melakukan mudarat kepada isteri dan yang seumpamanya.
Selain daripada itu, suami yang mentalaq isterinya juga dilarang memudaratkan isteri yang dalam ‘iddah dengan kembali (rujuk) kepada isteri apabila tempoh ‘iddah hampir selesai dengan tujuan untuk mendatangkan kesusahan atau mudarat kepada isteri. Allah SWT berfirman yang tafsirnya:
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh ‘iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri.” (Surah Al-Baqarah: 231)
Ayat tersebut melarang suami yang berniat untuk memberi mudarat kepada isteri. Suami yang mentalaq isteri diperintahkan sama ada kembali (rujuk) kepada isteri tanpa ada tujuan untuk memudaratkan atau melepaskan isteri sehingga selesai ‘iddahnya.
Di dalam kitab ‘Aunul Ma‘bud syarh Abi Daud, diterangkan mengenai hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan mengenai dengan suruhan memberi makan dan pakai kepada isteri serta larangan memudaratkan isteri.
Rasulullah SAW ditanyakan mengenai dengan hak isteri ke atas seorang suami. Baginda SAW menjawab:
Maksudnya, “Hendaklah kamu memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian atau kamu beroleh penghasilan, dan janganlah kamu memukul muka (isteri), jangan memburuk-burukkannya dan jangan memisahkan diri dari mereka kecuali di dalam rumah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Hadis tersebut melarang memukul isteri pada muka kerana muka merupakan anggota yang penting dan zahir dilihat. Begitu juga dilarang suami mengeluarkan perkataan tidak baik kepada isteri, tidak mengeji serta memaki isteri. Seandainya isteri nusyuz suami janganlah berpindah ke rumah lain (meninggalkan isteri), kerana yang dimaksudkan bagi isteri yang nusyuz adalah dipisahkan tempat tidurnya iaitu tidak tidur bersama-sama.
Memudaratkan isteri secara fizikal seperti menampar, memukul, menyepak isteri adalah dilarang kerana perbuatan seumpama ini amat jauh dari konsep pergaulan baik suami isteri sebagaimana yang dituntut syarak.
Jika pun isteri melakukan kesalahan, suami diperintahkan untuk menasihati isteri kerana mungkin dengan nasihatnya isteri akan sedar akan kesalahan yang dilakukan. Menasihati isteri kerana kesalahan yang dilakukannya ada disebutkan dalam perkara isteri nusyuz. Sunat seorang suami menasihati isterinya yang nusyuz dan memujuk isteri dengan cara mengambil hati, umpamanya dengan memberikan sesuatu. Suami dibenarkan memukul isteri yang nusyuz hanya setelah nusyuz isteri jelas berterusan (setelah suami menasihati dan memisahkan tempat tidurnya).
Cara memukul yang dibenarkan oleh syarak pula ialah pukulan yang tidak mendatangkan mudarat kepada isteri, iaitu tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada muka atau pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera.
Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.
Rasulullah SAW sebagai suami mithali
Rasulullah SAW merupakan suami mithali yang patut dicontohi. Sabda Baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:
“Sebaik-baik (manusia) antara kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik kepada keluargaku daripada kalangan kamu.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Pergaulan Rasulullah SAW bersama dengan isteri-isterinya adalah pergaulan baik yang sentiasa penuh dengan kemesraan, antaranya Baginda SAW bergurau senda dengan keluarganya, bersikap lemah lembut terhadap mereka dan mengagihkan nafkah sebagaimana yang diperintahkan syarak kepada para suami. Inilah antara pergaulan baik Rasulullah SAW bersama isteri-isteri Baginda yang patut dicontohi oleh para suami.
Sebagai kesimpulan, seorang suami bertanggungjawab memelihara hak-hak isteri yang diamanahkan oleh syarak ke atasnya. Antaranya berbuat baik kepada isteri kerana ia berupa perintah Allah SWT kepada kaum lelaki. Selain itu juga, suami tidak boleh mencuaikan nafkah isteri, kerana dengan mengabaikan pemberian nafkah tersebut, suami bukan sahaja telah melanggar apa yang diperintahkan oleh syarak bahkan perbuatannya akan mendatangkan kesusahan kepada isteri. Yang jelas, Islam amat menitikberatkan soal hak dan sama sekali tidak membenarkan suami mengabaikan hak-hak isteri.