Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bercuti sambil beringat-ingat

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Sempena cuti persekolahan ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengeluarkan Saranan Keselamatan Kebakaran dan Tips Keselamatan Semasa Cuti Persekolahan.

    Menurut JBP, berdasarkan rekod jabatan, penyebab utama bagi kebakaran rumah dan bangunan adalah kelalaian dan berpunca daripada kebakaran elektrik seperti lebih beban (overload), kepanasan yang berlebihan (overheat), litar pintas (short circuit), penyambungan yang longgar (loose connection) dan pendawaian yang usang.

    Antara punca yang lainnya adalah masakan yang ditinggalkan, membakar harta benda dengan sengaja dan kes diserahkan kepada pihak polis (arson), hos LPG yang longgar dan bocor, kanak-kanak bermain mancis atau api dan api puntung rokok atau pelita atau lilin.

    Sehubungan itu, JBP mengingatkan orang ramai agar sentiasa meningkatkan keselamatan dan pencegahan kebakaran terutama sekali ketika musim cuti persekolahan dan perayaan apabila kebanyakan penghuni rumah melancong keluar negara bersama keluarga.

    Dengan ini, JBP menasihatkan orang ramai untuk membuat senarai semak setiap kali sebelum meninggalkan rumah iaitu dengan memastikan mana-mana peralatan elektrik yang tidak diperlukan hendaklah dimatikan, menutup atau tanggalkan kepala gas memasak untuk mengelakkan sebarang kebocoran gas berlaku serta memberitahu keluarga atau jiran yang terdekat akan pemergian.

    Dalam kenyataan itu juga, JBP mengingatkan orang ramai terutama sekali yang mengendalikan aktiviti riadah di pantai semasa musim cuti persekolahan cuti awam atau pada bila-bila masa sahaja agar mengetahui beberapa aspek keselamatan ketika berenang atau melakukan aktiviti lain di pantai seperti tidak berenang ketika keadaan cuaca buruk atau berombak kuat serta tidak sesekali membiarkan anak-anak berenang di pantai tanpa diawasi, tidak berenang bersendirian dan sebagainya.

    Dalam hubungan ini sebagai usaha menjaga keselamatan orang awam, JBP telah menjalankan pemantauan dan rondaan melalui cawangan atau balai-balai bomba yang berdekatan dengan kawasan pantai dan sering dikunjungi oleh orang ramai secara berkala terutama sekali semasa musim cuti persekolahan dan cuti awam.

    JBP turut mengingatkan orang ramai atau penggemar-penggemar aktiviti jungle tracking atau meredah bukit agar mengetahui beberapa aspek keselamatan seperti tidak mendaki atau meredah bukit ketika cuaca hujan kerana laluan yang ada akan menjadi licin dan membahayakan, tidak masuk atau meredah bukit ketika keadaan cuaca sudah gelap untuk mengelakkan tersesat, mengelakkan meredah bukit atau kawasan yang tidak dikenal pasti laluannya dan pergi terlalu jauh ke dalam hutan.

    Orang ramai dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya membawa bersama air minum, wisel untuk menarik perhatian atau telefon bimbit yang boleh digunakan untuk meminta pertolongan jika mendapat sebarang kecederaan atau kemalangan.

    Oleh yang demikian JBP menyarankan orang ramai sepanjang musim percutian sekolah ini untuk menitik beratkan amalan keselamatan di rumah atau semasa mengendali aktiviti beriadah di luar.

    Jika terjadi kejadian kecemasan, hubungi JBP melalui talian kecemasan 995 dengan segera.

    Jika ada sebarang keraguan atau memerlukan khidmat nasihat mengenai aspek keselamatan pencegahan kebakaran di kediaman, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat JBP di talian 2380402/9.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda