Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berdaya tahan, komited tunjang kejayaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Sebanyak 98.6 peratus pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah lulus dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) bagi tahun 2023, yang mana seramai 152 orang pelajar iaitu 54 peratus telah berjaya mendapat pangkat Mumtaz, 82 orang pelajar mendapat pangkat Jayyid Jiddan, 37 orang pelajar mendapat pangkat Jayyid dan 10 pelajar mendapat pangkat Maqbul.

    Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Azizah binti Haji Mohamad semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Majlis Hafl At-Takharruj ke-30 SMALHB yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Menyentuh mengenai peperiksaan BC GCE A Level bagi tahun 2023, beliau berkata bahawa daripada 57 orang pelajar yang mengambil peperiksaan berkenaan, 41 orang telah mendapat 3A kredit, sembilan orang memperolehi 2A kredit dan tujuh orang lagi mendapat 1A kredit.

    “Insya Allah, pihak madrasah akan terus berusaha bagi meningkatkan kualiti pencapaian pelajar dengan membuat pelbagai inisiatif dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak,” ujar Hajah Azizah lagi.

    Dalam pada itu, beliau turut menambah di samping penumpuan utama dalam bidang akademik, pelajar-pelajar sekolah berkenaan juga secara umumnya tidak ketinggalan bergiat aktif dalam bidang kokurikulum dan kemasyarakatan bagi meluaskan lagi ilmu pengetahuan mereka. Ini sekali gus bagi melahirkan golongan pelajar yang serba boleh dan sentiasa bersiap sedia menghadapi masa depan di samping berharap agar mereka terdidik dan berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

    Hajah Azizah menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Nur Haziqah Azirah (depan) bersama rakan-rakan seperjuangan semasa ditemui pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Hajah Azizah antaranya turut berkata kejayaan itu tidak akan mudah dicapai tanpa adanya sokongan, galakan dan doa restu yang berterusan daripada pihak ibu bapa dan penjaga.

    Begitu juga segala pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan khidmat bakti dengan bertungkus lumus, berkorban masa dan tenaga demi melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik dan tugas-tugas pentadbiran sekolah merupakan pencetus kejayaan anak-anak didik selama ini.

    Dalam kesempatan itu, beliau turut mendoakan kepada semua pelajar agar sentiasa memperolehi kejayaan di mana pun mereka berada di samping menasihatkan mereka untuk terus berusaha dan melangkah dengan penuh keyakinan, selain menghargai masa yang ada serta sentiasa berbuat kebaikan dan kebajikan.

    Sehubungan itu, salah seorang pelajar yang memperolehi pangkat Mumtaz dalam STPUB, Dayang Nur Haziqah Azirah binti Azri Irwandy berkongsi antara amalan yang sering dilakukan sebelum menduduki peperiksaan ialah dengan melakukan melakukan sesi ulang kaji lebih awal selain menggunakan teknik peta minda dan nota ringkas untuk lebih memahami pengisian dalam pembelajaran.

    Beliau yang akan melanjutkan pendidikannya di peringkat sarjana muda di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ini turut menaruh harapan dengan kejayaan yang diperolehinya itu, ia pastinya menjadi pencetus motivasi diri untuk meneruskan perjuangan dalam bidang pembelajaran dan kemahiran serta pengalaman sebanyak mungkin pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda