Berdepan hukuman tegas jika ingkar

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Tindakan undang-undang yang lebih keras akan diambil terhadap sesiapa yang didapati ingkar atas arahan yang dikeluarkan di bawah Bab 62 (A) Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) berkaitan penularan wabak koronavirus di negara ini.

Akta itu membolehkan pesalah dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh membawa kepada denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan bahawa atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan dan Pasukan

Polis Diraja Brunei juga diberikan kuasa untuk mengenakan denda kompaun sehingga $5,000 kepada sesiapa yang didapati melanggar arahan-arahan yang telah dikeluarkan.

Sejak wabak COVID-19 mula dilaporkan pada awal bulan Januari 2020, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan dan pengawalan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini terjamin.

Ia telah disokong dengan adanya pindaan terhadap Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang telah mula berkuat kuasa pada 30 Januari lalu.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk mematuhi segala arahan dan peraturan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 tersebut.

“Sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan, maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204),” tegasnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa sidang media mengingatkan orang ramai untuk mematuhi segala arahan dan peraturan Kementerian Kesihatan.