Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Terus dan rajinlah berdoa kepada Allah tanpa mengira masa dan keadaan dengan cara yang beradab dan bertatatertib agar doa dimakbulkan.
Doa mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, oleh itu kita dituntut untuk berdoa dengan adab dan bertatatertib seperti berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan mengucap nama Allah serta mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW.
Khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Adab dan Tatatertib Berdoa’ seterusnya menjelaskan, doa bererti permintaan atau permohonan dan luahan hasrat hati seorang hamba kepada Khaliqnya untuk menyatakan sesuatu hajat lebih-lebih lagi ketika ditimpa ujian dan kedukaan.
Berdoa juga hendaklah dilakukan pada setiap masa, ketika dan juga keadaan, dan ini lebih-lebih lagi pada waktu sedang sihat dan senang, kerana dengan cara itu apabila berdoa pada waktu sedang sakit dan susah, doa itu akan mudah diperkenankan dan dimakbulkan.
Katanya lagi, “berapa ramai orang yang berdoa, namun pada masa yang sama secara sedar atau tidak, ada di antaranya yang masih melakukan perkara yang menjadi penyebab kepada doanya ditolak dan tidak diterima Allah.

“Mengetahui perkara yang menjadi punca atau sebab doa tidak diterima adalah penting untuk memperbaiki kesilapan dan menghalusi kekurangan yang terdapat dalam berdoa,” jelasnya.
Antara sebab doa tidak dimakbulkan oleh Allah, katanya, tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa hingga menjadikan hati lalai ketika berdoa dan tidak yakin yang doa akan dimakbulkan.
Menurutnya lagi, hati atau jiwa manusia bukan hanya boleh menjadi lupa dan lalai, malah boleh mati disebabkan oleh beberapa perkara dan apabila hati telah mati, segala doa yang dipohonkan tidak diterima atau dimakbulkan oleh Allah.
Antara sebab hati mati itu antaranya kamu mengenal Allah, tapi tidak menyempurnakan haknya; kamu mendakwa, mencintai Rasulullah SAW, tetapi meninggalkan sunahnya; kamu membaca Al-Quran, tapi tidak beramal dengannya; dan kamu makan nikmat-nikmat Allah tapi tidak bersyukur atas nikmat tersebut.
Jelas daripada sana, doa itu berkait rapat dengan hati dan hanya hati yang hidup dengan keimanan dan ketakwaan saja yang akan berhasil memperolehi kemurahan dan perkenan Allah.
“Adalah menjadi adat dan kelaziman jika berkehendak sesuatu daripada seseorang, akan bersopan santun dan bertatatertib, ini apatah lagi jika memohon dan berdoa kepada Allah tentulah lebih daripada itu,” katanya.
Khatib turut mengongsikan berdoa perlu dengan rasa yakin doa itu akan diperkenankan, disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara serta diiringi dengan perasaan takut akan azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya.
Di samping itu, pastikan rezeki yang diperolehi seperti makanan, minuman dan pakaian daripada sumber yang halal, dituntut untuk mendoakan orang lain terutama ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga, Muslimin, Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
“Ibu bapa adalah orang yang paling utama didoakan oleh anak-anak, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia bagi membalas jasa mereka kerana telah menjaga dan mendidik pada waktu kecil begitu juga ibu bapa, mereka digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka,” ujarnya.