KUALA LUMPUR, 26 MEI – Ketua jurulatih beregu lelaki Malaysia, Herry Iman Pierngadi tidak menafikan pendekatan kejurulatihan yang digunakannya di Malaysia dan Indonesia hampir serupa namun gaya permainan setiap pemain berbeza hasil adaptasi dan pemahaman terhadap falsafah taktikal yang dibawanya.
Jurulatih berpengalaman berusia 62 tahun itu yang menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lepas berkata perubahan paling ketara dapat dilihat dalam perancangan permainan yang kini jauh lebih tersusun dan strategik.
“Saya rasa program yang saya buat untuk Indonesia dan Malaysia hampir sama tapi mungkin peminat badminton Malaysia boleh lihat perbezaan cara mereka bermain.
“Jadi, strategi permainannya menurut saya sekarang sudah berbeza berbanding yang dulu.
Ini pendapat saya, tapi penilaian yang lebih adil adalah daripada masyarakat, khususnya penggemar badminton tanah air,” katanya kepada pemberita selepas aksi final Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Dalam aksi final semalam, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan penantian 12 tahun Malaysia meraih gelaran juara beregu lelaki Masters Malaysia dengan mengejutkan juara dunia 2022 yang juga rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menerusi kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam perlawanan berlangsung selama 50 minit.
“Bagi saya, penampilan kedua-dua pemain dari Malaysia itu di final memang cukup baik dan mengagumkan.
“Kalau tengok daripada beberapa kejohanan sebelum ini, prestasi mereka (Wei Chong-Kai Wun) di Masters Malaysia sangat konsisten daripada pusingan pertama hingga ke final. Jadi prestasi mereka di Malaysia Masters ini adalah yang terbaik,” katanya.
Ditanya bagaimana dia membantu Wei Chong-Kai Wun mengharungi detik sukar selepas menjuarai Masters Indonesia 2025 pada Januari lepas diikuti prestasi menurun apabila tersingkir awal dalam empat kejohanan berturut-turut, Herry berkata dia meminta pasangan ranking kelapan dunia itu menganalisis rakaman video perlawanan mereka. – Bernama
