KUALA LUMPUR, 29 JAN – Hanya dua wakil negara melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mempamerkan aksi menakjubkan apabila berjaya mengenepikan pasangan kelapan dunia dari Indonesia Greysia Polii-Apriyani Rahayu 21-13, 21-17 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B hari ini.
Mengikut jejak Mei Kuan-Meng Yean, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berjaya menyingkirkan pasangan Indonesia Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 17-21, 21-13, 21-13 dalam perlawanan berlangsung selama 57 minit.
Kedua-dua gandingan negara layak ke peringkat separuh akhir selepas masing-masing menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua dengan dua kemenangan dan satu tewas.
“Hari ini, kami bermain dengan baik dan memberi tekanan kepada lawan. Kami tidak melakukan kesilapan mudah dan mengutip mata demi mata untuk menewaskan mereka. Ia satu perlawanan yang panjang dan kami hanya perlu fokus.” – Bernama