Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berfikir di luar kotak tidak sukar

    BERFIKIR di luar kotak (think out of the box) adalah berfikir di luar kebiasaan dan mencabar tradisi dengan membangkitkan rasa tidak puas hati dan mengeluarkan diri dari zon selesa.

    Ia menggunakan kreativiti dalam pemikiran, melihat cara penyelesaian pada sudut yang berlainan, serta berbeza dari status quo. Kebolehan untuk berfikir di luar kotak minda adalah sesuatu yang sukar untuk diajar, namun, sekiranya seseorang itu dapat menguasai kebolehan tersebut, ia akan dapat membantu memajukan diri individu tersebut dan organisasi.

    Berfikir di luar kotak minda adalah bertujuan untuk membolehkan pekerja menggunakan kreativiti atau pendekatan yang unik bagi menyelesaikan sebarang masalah atau isu dalam organisasi. Caranya adalah dengan banyak bertanyakan soalan yang bermula dengan perkataan seperti bagaimana, mestikah, bolehkah atau perlukah. Contohnya:

    -Bagaimana kerja ini boleh dilakukan dengan cara lain?

    -Mestikah proses kerja bermula dengan aktiviti A bukan B?

    -Bolehkah gugurkan aktiviti X dan Y daripada proses kerja yang sedia ada?

    -Perlukah pelanggan mendapatkan perkhidmatan tanpa hadir ke pejabat?

    -Apa terjadi kalau……………?

    Bagaimana untuk berfikir di luar kotak dan kreatif?

    Apabila minda kita kehabisan idea, kita sentiasa dinasihatkan untuk berfikir ‘di luar kotak’. Tetapi apa sebenarnya cara untuk berfikir di luar kotak? Berfikir di luar kotak tidak begitu sukar. Apa yang diperlukan adalah bebaskan fikiran anda daripada dibelenggu had dan peraturan, serta berada di luar diri anda yang biasa. Berikut adalah beberapa cara yang mudah untuk mengejutkan semua orang dengan idea-idea berbeza apabila anda diminta untuk input kreatif:

    1. Keluar dari zon selesa anda

    Ia adalah mudah untuk percaya dalam sesuatu yang anda sentiasa percaya. Tetapi cabarannya adalah untuk bersaing dengan diri sendiri dan bukannya bersaing dengan orang lain. Cuba untuk melangkah keluar dari zon selesa anda dan ambil pendekatan yang berbeza. Anda tidak semestinya perlu mengubah rutin harian, tetapi anda perlu megubahnya dengan cara konvensional.

    2.Letakkan berfikir diri anda di situasi itu

    Cuba untuk memainkan peranan yang baharu. Fikirkan tentang penyelesaian kepada masalah dengan percaya bahawa anda mengalami masalah itu. Perspektif adalah bertujuan untuk diubah mengikut masa dan keadaan. Kadang-kadang tidak ada salahnya mendengar apa yang orang lain fikirkan. Lebih banyak anda mendengar tanpa menyekat otak anda untuk ‘ini adalah mustahil’, adalah lebih peluang untuk anda membuat sesuatu yang mustahil menjadi mungkin.

    3.Belajar daripada kesilapan

    Kunci untuk belajar daripada kesilapan adalah terlebih dahulu mengakui kesalahan tanpa sebarang alasan. Apabila anda ingin mencuba sesuatu yang baharu, anda tidak boleh mengharapkan ia akan terus berjaya dengan serta-merta. Kegagalan tidak perlu menjadi sesuatu mengecewakan. Sebaliknya, ia akan menjadi sumber pencerahan. Seseorang boleh berfikir di luar kotak jika dia mengalu-alukan kesilapan sebagaimana dia mengalu-alukan kejayaan.

    Anda perlu mencuba perkara-perkara yang unik untuk membuat kesilapan yang berbeza. Jika anda malas untuk mencuba, anda tidak akan membuat kesilapan dan tanpa membuat kesilapan, otak anda akan kehilangan keupayaan untuk berkembang mencari idea baharu.

    4.Belajar untuk mempersoalkan

    Jangan biarkan otak anda selalu memproses sesuatu yang sama. Jadikan ia satu tabiat untuk mempersoalkan fakta yang sedia ada dan menyokong setiap pemikiran anda dengan alasan yang kuat. Bertanya soalan membantu untuk memupuk pemikiran dan kreativiti kita.

    5. Buat sesuatu yang tidak diketahui

    Anda perlu merancang untuk belajar sesuatu yang anda mungkin tidak pernah pun terfikir untuk lakukan. Belajar untuk membuka minda anda untuk sesuatu yang keluar daripada kotak. Belajar bahasa baharu, melakukan penyelidikan tentang perkara-perkara yang menarik minat anda, bertemu orang baharu atau bertukar kepada hobi baharu. Menjadi seorang pemerhati senyap juga boleh membawa pengetahuan kepada anda. Keinginan serta kesanggupan untuk belajar tentang perkara-perkara yang tidak diketahui akan membawa idea-idea segar dan baharu kepada anda.

    Ciri-ciri berfikir di luar kotak

    Berfikir di luar kotak memerlukan empat ciri atau sikap berikut:

    1-Mengambil perspektif baharu dalam melaksanakan tugas-tugas harian.

    2-Mempunyai pemikiran terbuka dan sanggup melaksanakan sesuatu secara berlainan.

    3-Memberi tumpuan kepada mencari idea-idea baharu dan bertindak ke atas idea-idea tersebut.

    4-Berusaha mencipta nilai melalui kaedah-kaedah baharu.

    Contoh:

    1+1 = ?

    Jawapan yang biasa didengar sudah tentunya

    1+1 = Tidak semestinya dua, ada kalanya ia menjadi seperti berikut:

    1+1 = 1 (Bila satu titik air dititik di atas titik air yang lain. Kedua-duanya bercantum menjadi satu)

    1+1 = 0 (Bila satu titik air dititik di atas air yang lain di dalam kuali panas, kedua-duanya akan hilang menjadi wap)

    1+1 = 3 dan ke atas (Bila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan dan dikurniakan anak mungkin seorang, mungkin dua dan mungkin kembar empat). – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda