SANAA – Melarikan diri daripada serangan udara dan periuk api, pemelihara lebah Yaman Darwish Ali memandu membawa sarang lebahnya lebih daripada 500 kilometer ke tanah tinggi barat wilayah Sanaa, mencari lembah yang selamat untuk menternak lebahnya.
Yaman, terkenal kerana menghasilkan madu terbaik, telah dibelenggu perang saudara lebih daripada empat tahun yang telah memusnahkan ekonomi dan menjerumus negara Arab ke kancah kelaparan.
Penternak lebah berusia 26 tahun itu tiba di lembah daerah Al-Haimah Al-Kharijiyah dua bulan lalu, datang dari wilayah Shabwa, kira-kira 474km ke tenggara ibu negara Sanaa.
Kawasan pinggir bandar barat laut Shabwa masih merupakan medan pertempuran terbuka di antara tentera kerajaan yang disokong oleh gabungan pimpinan Arab Saudi dan pemberontak Huthi yang bersekutu dengan Iran selama lebih empat tahun.
Gabungan yang campur tangan di Yaman pada Mac 2015 untuk menyokong kerajaan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi telah melancarkan beribu-ribu serangan udara ke atas pemberontak Huthi yang mengawal kawasan yang mempunyai penduduk paling ramai termasuk Sanaa.



“Saya membawa lebah saya ke kawasan ini di mana mereka boleh mencari bunga untuk menghasilkan madu yang bagus,” beritahu Ali kepada Xinhua di lembah Raimat Al-Haimah daerah Al-Haimah Al-Kharijiyah.
Daerah Al-Haimah Al-Kharijiyah, yang membentuk sebahagian daripada wilayah Sanaa dan terletak lebih daripada 35km ke barat Sanaa, adalah terkenal dengan penanaman Sidr dan pokok kacang badam.
Pokok-pokok berkenaan mulai mengeluarkan bunga pada awal musim sejuk dan akan berbunga sepanjang tempoh musim itu.
Terkenal dengan keaslian dan khasiat terapeutik, madu Yaman telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.
Bagaimanapun, tahun-tahun peperangan di Yaman telah melumpuhkan perniagaan madu tradisionalnya.
Abdullah Nashir, seorang profesor di Fakulti Pertanian Universiti Sanaa, berkata ‘pemelihara lebah menghadapi risiko serangan udara dan periuk api ketika mereka bergerak di antara lembah.”
“Seperti Ali, ramai penternak lebah cuba berjalan dari satu tempat ke tempat lain membawa sarang mereka di belakang trak untuk mencari pokok berbunga…namun mereka menghadapi masalah peperangan,” kata Nashir, yang juga ketua Liga Koperasi Penternak Lebah Yaman, sindiket bukan kerajaan yang terdiri daripada 100,000 penternak lebah Yaman.
“Sudah tentunya, peperangan telah menjejaskan industri madu Yaman kerana ia telah menimbulkan banyak halangan. Sebelum perang, kami selalu mengeksport madu kami menerusi mana-mana kaedah pengangkutan, tetapi peperangan dan sekatan telah mengurangkan eksport,” tambah Nashir.
Abdulkarim al-Najdi, yang memiliki salah sebuah kedai madu utama di Sanaa, mengadu tentang peperangan dan krisis ekonomi.
“Peperangan dan krisis ekonomi sebahagian besar telah menjejaskan kami. Sebelum perang, perniagaan saya amat laris dan orang membeli banyak madu. Namun bukan lagi untuk sekarang,” beritahu al-Najdi kepada Xinhua dari kedainya.
Meskipun kesulitan dan risiko yang dihadapi, ramai penternak lebah Taman masih berkelana di antara hutan pokok bidara di tengah musim sejuk teruk demi menghasilkan madu Sidr.
Mereka pasti madu Sidr yang terkenal di Yaman adalah yang paling sedap hingga ke titisan terakhir.- Xinhua