Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berganding bahu pastikan COVID-19 ditangani

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pada saat seluruh pelosok dunia digoncangkan dengan musibah penularan pandemik koronavirus, COVID-19, pastinya apa yang menjadi harapan besar setiap negara adalah menanai tanggungjawab dalam sama-sama berganding bahu menangani wabak ini daripada semakin berleluasa.

    Kata-kata ‘Social Distancing’, ‘Social Responsibility’, ‘Stay Safe’ dan ‘Stay at Home’ kini menjadi bualan ramai yang bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di negara ini bahkan juga dunia amnya baik secara lisan mahu pun menerusi aplikasi media sosial jelas menunjukkan semangat solidariti dalam membantu kerajaan terutama Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang terlibat bersatu hati dan jiwa demi sama-sama memberi kesedaran mengenai bahaya wabak berkenaan.

    Namun hakikatnya, kata-kata yang terlafaz di bibir sahaja tidaklah memadai dan ia hanya akan menjadi sia-sia pada akhirnya jika tidak diselaraskan dengan amalan langkah-langkah positif yang sewajarnya sebagaimana garis panduan dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berkuasa.

    Sukarelawan Belia Satu Bumbung

    Bersama menyemai sikap keprihatinan terhadap para petugas kesihatan dan juga agensi-agensi yang terlibat yang sentiasa bertungkus lumus menyelamatkan nyawa masyarakat di negara ini berikutan pandemik COVID-19 yang telah menular, Sukarelawan Belia yang menghimpunkan belia tanah air berjiwa kesukarelawanan di bawah satu bumbung tampil bangkit berganding bahu demi satu matlamat utama dalam menyumbang bakti dan bantuan pada bila-bila masa.

    Sebagai menghargai kerja keras barisan hadapan negara menangani penularan wabak yang semakin membimbangkan ini, Sukarelawan Brunei yang ditubuhkan sebagai Operasi Sukarelawan COVID-19 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan anjuran bersama Malam Minggu Pusat Belia (MMPB), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, Majlis Belia Brunei (MBB), Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan Alumni Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) ini beroperasi selama 24 jam sejak beberapa hari yang lalu di bilik operasi (Operational Room) yang kini sedang berpusat di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pulaie, Bandar Seri Begawan.

    Suasana bilik operasi (Operational Room) bagi Sukarelawan Belia yang kini sedang berpusat di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pulaie, Bandar Seri Begawan.
    Antara barang-barang keperluan yang akan diagih-agihkan oleh para sukarelawan belia seperti ke rumah-rumah dan hotel-hotel yang menempatkan orang yang menjalani sesi pengasingan dan sebagainya.

    Bersama Berjuang Menangani Krisis

    Semasa ditemui, Pegawai Perhubungan (Liaison Officer), Sukarelawan Belia berkenaan, Hajah Noor Monasaliena @ Suzie binti Haji Mohd Salleh menyatakan adapun bilik operasi yang ditubuhkan itu bertujuan untuk merekrut sukarelawan belia yang telah berdaftar yang mana sehingga kini mereka lebih daripada 400 sukarelawan di bawah Belia Sukarelawan termasuk PKBN yang telah menyahut respons yang begitu positif dalam sama-sama memberikan sokongan teguh kepada Kementerian Kesihatan bila-bila diperlukan.

    “Bukanlah satu lakonan, bukan juga latihan tetapi hakikatnya ia adalah situasi sebenar yang kita semua hadapi di negara ini malah di negara-negara lain juga. Oleh itu inilah masa untuk kita khususnya para belia dan sesiapa sahaja memainkan peranan masing-masing dalam menjadi sukarelawan demi menyumbang dan menunjukkan cinta dan kasih sayang kita kepada bangsa dan tanah air ini lebih-lebih lagi ketika kita dilanda krisis sebegini,” tambahnya dengan penuh harapan.

    Dua Kumpulan Sukarelawan

    Jelas Hajah Noor Monasaliena lagi, terdapat dua buah kumpulan sukarelawan iaitu berisiko tinggi dan berisiko rendah. Sukarelawan yang dalam kumpulan berisiko tinggi diberikan kepada mereka yang mempunyai latar belakang perubatan dan lebih cenderung untuk memberi bantuan di bahagian hospital, lapangan terbang, pusat pengasingan dan lainnya.

    “Manakala sukarelawan berisiko rendah pula akan diberikan tugasan di luar dari bidang perubatan seperti penghantaran barang dan logistik ke tempat-tempat seperti rumah dan hotel yang menempatkan orang yang menjalani sesi pengasingan. Apa yang pasti, untuk sebahagian besar sukarelawan yang tidak berpengalaman dengan keadaan kecemasan sebegini, kami tidak membebani mereka bahkan bantuan yang diperlukan hanya mengikut keupayaan atau kepakaran yang dimiliki oleh mereka,” ujarnya dengan terperinci yang turut berharap semakin ramai lagi penglibatan belia yang menyertai misi kesukarelawanan berkenaan yang mana boleh dibuat menerusi aplikasi dalam talian (E-Form) melalui kod imbasan QR yang disediakan di poster yang kini diedarkan melalui platform media sosial.

    Menitikberatkan Kesejahteraan Sukarelawan

    Dalam pada itu, Mejar (B) Mohd Akhmalwizam juga selaku salah seorang Pegawai Perhubungan dalam mengungkayahkan Sukarelawan Belia tersebut turut menekankan bahawa para sukarelawan yang juga dianggap sebagai frontliners ini kerana mereka ‘berisiko’ semasa menghadapi dan menemui khalayak ramai semasa menangani pandemik ini.

    “Adalah menjadi keutamaan kami untuk menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan mereka antaranya dengan dibekalkan keperluan topeng muka, sarung tangan dan gel pembasmi kuman sebagai langkah-langkah pencegahan diri semasa menjalankan tugasan yang diarahkan. Apa yang pasti, sukarelawan kami juga akan diberikan taklimat dalam kumpulan kecil sebelum mereka dikerahkan di tempat-tempat tertentu,” tegasnya dengan mengambil serius mengenai garis panduan dan sekatan dari Kementerian Kesihatan.

    Ambil Hikmah Di Sebaliknya

    Di samping itu, Mejar (B) Mohd Akhmalwizam turut menyarankan agar umat Islam di negara ini sentiasa berusaha mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian, di samping sentiasa bertawakal dan berdoa kepada Allah SWT ketika wabak melanda negara agar musibah ini dihapuskan di bumi Darussalam ini dan masyarakat dunia amnya.

    “Begitu indah hikmah di sebalik kejadian yang berlaku ini, dengan adanya pusat operasi sukarelawan sebegini, ia sememangnya menjadikan kita selaku pertubuhan-pertubuhan sukarelawan di negara ini bersatu teguh menanaikan tanggungjawab demi negara yang kita cintai ini. Diharap semangat kesukarelawanan sebegini akan sentiasa menyinari dan tumbuh mekar dalam jiwa-jiwa anak bangsa kita pada bila-bila masa di saat suka dan duka,” ujarnya dengan penuh ketulusan.

    Bersama Kita Bersatu

    Semangat juang penuh ketelusan jelas terlihat apabila penulis menemui dua orang belia yang menyertai Sukarelawan Belia berkenaan yang mana rata-rata mereka mengungkapkan kesyukuran dengan izin Allah SWT dapat menyumbangkan tenaga dan buah fikiran khususnya dalam membantu membungkus dan mengagih-agihkan barangan sumbangan pihak-pihak tertentu kepada mereka yang memerlukan.

    Mereka ialah Awang Ahmad Rafi’uddin bin Haji Alauddin dan Awang Muizzuddin bin Damit yang mengungkapkan betapa besar sumbangan negara kepada bangsa kita selama ini, maka inilah masanya kita bersatu bersama menyalurkan apa sahaja bantuan yang tidak semestinya berbentuk wang ringgit bahkan tenaga dan buah fikiran juga begitu bermakna demi meringankan beban khususnya Kementerian Kesihatan dan mereka yang terlibat.

    “Janganlah memandang dunia sukarelawan ini sesuatu yang merugikan. Apa yang penting, kita mestilah sentiasa memperbetulkan niat dan sentiasa bersifat positif dalam menjalankan khidmat bakti kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Yakinlah rahmat Allah SWT akan sentiasa menyinari kehidupan kita jika kita benar-benar ikhlas dalam memberi pertolongan sesama manusia tanpa mengira agama, pangkat dan bangsa,” nasihat mereka dengan penuh keyakinan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda