BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis 2008 – Empat lelaki warga Indonesia nyaris lemas setelah mereka dihanyutkan ke tengah laut Pantai Muara dengan hanya berpaut pada sebatang kayu balak untuk mengapung.
Ketika kejadian itu, keempat-empat rakan terbabit sedang berkelah di Pantai Muara ekoran cuti awam sempena Hari Raya Aidiladha. Sukardi dan Nawawi, yang mula-mula turun untuk berenang di air pada paras dada itu, tanpa disedari dihanyutkan oleh ombak kira-kira satu kilometer ke tengah laut.
Pada masa yang sama dua lagi rakan mereka iaitu Sunardi dan Marwan, yang berada di pantai, terlihat dua rakan mereka yang hanyut itu melambai-lambai meminta pertolongan lalu terus berenang untuk cuba menyelamatkan rakan mereka yang semakin hanyut.
“Ombak laut ketika kejadian itu kelihatan seperti biasa tetapi saya dapat rasakan diri saya semakin ditarik ke tengah laut dan di sebalik berusaha sedaya upaya untuk berenang semula ke pantai, ombak ‘luar biasa’ itu semakin menghanyutkan saya lebih jauh ke tengah laut,” kata Nawawi yang masih dalam keadaan trauma ketika menceritakan kejadian yang dialaminya kepada media.
Menurutnya lagi sebaik menghampiri kedua-dua rakannya beliau berjaya menarik rakannya yang hampir tenggelam ekoran tidak berdaya melawan arus laut yang kuat.
Seorang lelaki warga Filipina yang turut berenang untuk menyelamatkan keempat-empat rakan malang itu ternampak sebatang kayu yang terapung lalu menolaknya ke arah mereka supaya dapat berpaut.
Kelima-lima mereka yang kini hanya berpaut kepada batang kayu itu untuk mengelakkan daripada lemas dan lelaki Filipina terbabit nekad untuk berenang balik dan akhirnya berjaya ke pantai.
Sementara itu seorang pengunjung pantai itu yang melihat saat cemas itu bertindak pantas menghubungi polis marin yang sejurus kemudian bergegas ke laut untuk menyelamatkan mereka yang hampir lemas.