Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bergelar pengarah, Liyana tetap berlakon

    Biarpun wajahnya semakin jarang kelihatan di kaca televisyen mahupun layar perak, ia bukan bermakna pelakon Liyana Jasmay, 33, meletakkan titik noktah dalam lakonan, sebaliknya lebih aktif dalam dunia di sebalik tabir sebagai pengarah kreatif.

    Mengakui masih berlakon, namun, buat masa ini, Liyana lebih fokus dalam penghasilan supertele terbaharu berjudul Cikgu VS Hantu terbitan syarikatnya, Mermaid Studios.

    Pelakon yang pernah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 itu berkata, dia terbabit dengan filem Baik Punya Ah Long bersama Datuk Afdlin Shauki, tahun lalu.

    “Bagaimanapun, saya belum sempat mengambil tawaran lakonan memandangkan penggambaran banyak kali tertunda. Sepatutnya, saya mungkin sudah ada masa untuk berlakon drama lain, tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi banyak yang terpaksa dipinda.

    “Jadi, buat masa ini, saya mahu menyiapkan projek syarikat yang tertangguh dahulu,” katanya.

    Liyana lebih fokus dalam penghasilan supertele terbaharu berjudul Cikgu VS Hantu terbitan syarikatnya, Mermaid Studios. – Agensi

    Menurutnya, kesibukan sebagai pengarah kreatif antara salah satu faktor terpaksa memilih tawaran lakonan.

    “Sesebuah penggambaran drama atau filem perlu mengikut jadual saya. Mungkin saya boleh terima tawaran untuk projek yang tidak memakan masa lama, mungkin antara lapan hingga 10 hari.

    “Namun, tiada masalah sekiranya berlakon dalam naskhah terbitan syarikat sendiri. Saya boleh atur masa mengikut kesesuaian. Jika bertanya sama ada saya menolak tawaran orang lain, ia bergantung pada keadaan.”

    Liyana berkata, dia teruja dapat kembali ke lapangan bagi mengarahkan supertele bergenre komedi seram, Cikgu VS Hantu, lakonan Juliana Evans, Afdlin dan Khir Rahman.

    Katanya, itu adalah penggambaran pertamanya selepas beberapa bulan berehat ekoran pelaksanaan PKP 3.0.

    Mengulas pandangan pelakon menolak suntikan vaksin, Liyana menghormati pendirian masing-masing.

    Bagaimanapun, katanya, setakat ini, semua pelakon yang bekerja dengan produksinya sudah menerima vaksinasi lengkap. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda