Oleh Raz AS
BUKU Ink in Water hasil penulisan Lacy J. Davis adalah sebuah buku memoir grafik mengenai seorang wanita muda yang bergelut dengan masalah imej badan negatif dan masalah gangguan makan yang tidak teratur, dan bagaimana dia berjaya melepaskan diri daripada belenggu tidak sihat tersebut.
Sebagai seorang seniwati muda yang tinggal di Portland, Lacy Davis mula menghadapi masalah gangguan makan yang tidak teratur apabila sekelumit fikiran mula tercetus di dalam benaknya yang menganggap bahawa dirinya kurang bagus.
Seperti tinta yang jatuh ke dalam air, fikiran negatif itu mula merebak dan menguasai dirinya. Inilah realiti yang telah terjadi kepada Lacy yang memakan dirinya sehingga dia menghidap masalah gangguan makan yang pelbagai.
Seorang gadis muda yang sihat dan positif, Lacy telah terjatuh ke dalam jurang dalam yang diciptakan oleh masyarakat yang obsesi dengan imej badan.

Walaupun pada mulanya Lacy berjaya berhadapan dengan masalah imej badan namun disebabkan beberapa faktor masalah yang dihadapinya, Lacy telah mula terjerumus kepada masalah anoreksia, obsesi terhadap makanan sihat dan ketagih terhadap senaman yang berlebihan.
Kisah sebenar yang menggabungkan unsur lucu dan dinamik mengenai masalah yang banyak menghantui sebahagian besar masyarakat pada masa kini, di samping dihiasi dengan ilustrasi grafik oleh Jim Kettner, Ink in Water adalah sebuah buku yang menggambarkan segala yang bermain dalam fikiran penulis.
Bagaimana dia berjaya menghadapi masalah tersebut dan mengalihkan tumpuannya kepada bidang penulisan dan karya dan bagaimana dia mula menceburkan dirinya ke arah cara hidup yang lebih sihat.