Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bergelut sara hidup ketika harga makanan melambung naik

    LAGOS – Pakar pemakanan Nigeria, Emiolo Ogunsola berdiri di hadapan sekumpulan wanita yang baru bergelar ibu di sebuah hospital awam Lagos, menyenaraikan makanan-makanan asas yang diperlukan mereka untuk memastikan anak-anak mereka menerima makanan berkhasiat: Telur, sayur-sayuran dan kekacang di antaranya.

    Nada suaranya terganggu secara tiba-tiba. Bagi ibu-ibu yang mendengar, makanan asas berkenaan semakin sukar dicapai.

    “Ma, bagaimana anda boleh mengharapkan kami membelinya, semuanya sangat mahal, tidak ada wang untuk membeli semua itu,” kata seorang ibu muda dengan anaknya yang berada dalam dakapannya.

    Inflasi meningkat di seluruh dunia ketika ekonomi global pulih dari wabak koronavirus, dan sementara bank pusat Barat mengatakan ia hanya bersifat sementara, harga yang melambung tinggi mempunyai akibat yang dramatik di negara-negara seperti Nigeria.

    Negara yang berpenduduk paling ramai di Afrika dengan 210 juta penduduk, Nigeria bersaing dengan India untuk jumlah penduduk miskin terbesar di dunia. Tetapi dipengaruhi oleh kesan ekonomi dua kali ganda dari harga minyak global yang rendah dan pandemik, Bank Dunia menganggarkan kenaikan inflasi Nigeria dan harga makanan mendorong tujuh juta orang lagi menjadi miskin pada tahun 2020.

    Terdapat beberapa jenis beras yang terjual di kedai Paul Chinedu. – AFP
    Edith Obatuga membelek barang keperluan yang hendak dibeli. – AFP
    Seorang pelanggan mengambil sayur kubis untuk dibeli. – AFP
    Orang ramai kelihatan membeli makanan di pasar Illaje di Bariga, Lagos. – AFP
    Berikutan harga ubat yang mahal, kebanyakan keluarga kini memilih ubat tradisional, jus herba yang disediakan dalam bekas plastik untuk merawat malaria dan demam kepialu seperti yang terdapat di atas meja Edith Obatuga. – AFP

    Harga makanan telah meningkat lebih daripada 22 peratus sejak bermulanya krisis koronavirus, menurut statistik rasmi. Bagi kebanyakan orang, menyara keluarga telah menjadi satu cabaran harian.

    “Setiap hari, semasa konsultasi, ada lima atau tujuh anak yang menderita kekurangan zat makanan,” kata Ogunsola, ketua jabatan pemakanan di hospital kanak-kanak Massey Street di sebuah daerah miskin di Pulau Lagos.

    “Saya ramal dalam beberapa bulan atau satu tahun, lebih ramai kanak-kanak akan kekurangan zat makanan.”

    Bahkan sebelum wabak dan kenaikan kos makanan, angka nutrisi di Nigeria sangat membimbangkan: Seorang daripada tiga kanak-kanak Nigeria mengalami pembesaran terbantut disebabkan diet yang teruk; satu daripada 10 menghidapi penyakit.

    Akibatnya, hampir 17 juta kanak-kanak di Nigeria kekurangan zat makanan, menjadikan negara kekurangan zat makanan tertinggi di Afrika dan kedua tertinggi di dunia.

    Tidak tahan lagi

    Edith Obatuga mempunyai enam tanggungan: dua anaknya serta empat anak saudaranya.

    20 kilometer dari Pulau Lagos, di Pasar Bariga, satu lagi kawasan yang terkenal di ibu kota ekonomi Nigeria, ibu tunggal ini membeli-belah di sekitar gerai, dengan harapan dapat mencari pakej spageti pada harga yang mampu.

    Dia telah pun berhenti makan kacang, dengan harga sekilo sudah naik 60 peratus dalam satu tahun. Dia juga mengurangkan pengambilan nasi setelah kenaikan harga beras sebanyak 15 peratus.

    “Semasa penutupan tahun lalu, harga mulai naik, dan tidak pernah berhenti sejak itu. Kami tidak tahan lagi,” kata ibu berusia 43 tahun yang memperoleh sekitar 50,000 naira atau AS$120 sebulan dengan menjual papan kayu.

    Obatuga telah membuat penyelarasan untuk menunda pengurangan sebahagian daripada bahagian makanan dari sajian keluarga. Pertama, dia meninggalkan pangsapuri mereka kerana dia tidak lagi dapat membayar sewa dan pindah ke rumah lama arwah ibunya.

    “Anda harus datang apabila hari hujan, ada air di mana-mana, setiap malam kami melawan nyamuk,” katanya.

    Apabila anak-anaknya jatuh sakit, akibat malaria atau demam kepialu, tidak timbulnya alasan untuk pergi ke hospital.

    “Terlalu mahal,” kata ketua keluarga yang kini memilih ubat tradisional: jus herba yang disediakan dalam bekas plastik.

    Kitaran tanpa henti

    Sebelum pandemik, warga Nigeria sudah menghabiskan 60 peratus daripada pendapatan mereka untuk makanan, kata Tunde Leye, ahli ekonomi di firma perunding risiko SBM Intelligence. Tetapi inflasi telah mendorong kenaikan itu secara purata.

    “Anda boleh ramalkan bahawa hari ini rata-rata orang membelanjakan lebih daripada 60 peratus, mungkin sekitar 70 atau 80 peratus daripada pendapatan mereka untuk makanan,” kata ahli ekonomi itu.

    “Apabila orang membelanjakan sejumlah besar ke atas makanan, mereka tidak dapat melakukan apa-apa lagi, membayar sewa, rawatan kesihatan, pendidikan.”

    Sesungguhnya, setelah berhenti membayar sewa rumah, Obatuga juga terpaksa berhenti membayar sewa di kedainya. Dia sekarang menjual papan di luar rumahnya, jauh dari jalan-jalan komersial, dan pendapatannya merosot teruk ketika dia terjerumus dalam kitaran kemiskinan yang tiada kesudahannya.

    Inflasi Nigeria tidak didorong oleh faktor global sahaja. Setiap tahun 40 peratus daripada jumlah pengeluaran makanan Nigeria hilang atau terbuang, menurut Bank Dunia.

    Di negara pengeluar minyak terbesar di Afrika, rasuah merupakan endemik, jalan raya dalam keadaan buruk, pelabuhan Lagos sesak sepenuhnya, dan bekalan elektrik yang rosak tidak membenarkan makanan disimpan dengan betul, kata ahli ekonomi Leye. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda