DOHA, 2 DIS – Jurulatih Amerika Syarikat, Gregg Berhalter berharap Christian Pulisic akan kembali cergas untuk berdepan Belanda pada Sabtu ini dalam pertembungan 16 terakhir namun meragui kecergasan penyerang, Josh Sargent.
Bintang Chelsea, Pulisic mengalami kecederaan pinggul susulan pelanggaran semasa menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Iran pada Selasa.
Pemain berusia 24 tahun itu seterusnya dikeluarkan dari padang dan dihantar ke hospital untuk ujian susulan.
Berhalter berkata Pulisic sedang dalam pemulihan dan akan diuji sekali lagi pada Jumaat semasa sesi latihan.
“Berkenaan Christian, kami akan melihat keadaannya pada hari ini di padang latihan,” Berhalter memberitahu semasa sidang media pada hari ini.
“Keadaannya nampak agak baik, namun kami harus lihat aksinya di padang untuk mendapatkan kepastian.”
Walau bagaimanapun, timbulnya kebimbangan terhadap penyerang Norwich, Sargent, yang juga tercedera semasa berdepan Iran.
“Dengan Christian, kami masih berharap, namun (Josh) tidak seberapa,” katanya.
“Tapi kita akan lihat dahulu. Pada peringkat ini dalam kejohanan ini, kita perlu mara. Jika kita boleh tekan, kita tekan. Saya pasti dia mempunyai mentaliti sebegitu.” – AFP